Monday, December 29, 2008

Alahai PKR dan Manikavasagam

Sejak beberapa hari lepas banyak cerita mengenai krisis dalaman PKR yang membabitkan beberapa pemimpin utamanya termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Semuanya bermula Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mengumumkan bahawa beliau akan keluar daripada pakatan pembangkang atas alasan tidak bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu. (berita lanjut dalam mstar).

Terus terang saya sudah bosan dengan budaya ugut keluar parti ini. Saya cabar kalau berani keluar terus, jangan cakap saja. Inilah budaya politik yang membosankan - ugut supaya orang pujuk atau mahukan balasan. Tunjukkan keberanian seperti Bekas Ketua UMNO Bahagian PJS, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim yang keluar dari parti tanpa sebarang takwil.

Sudah terang lagi bersuluh, PKR sedang diserang barah yang sedang menyerang seluruh anggotanya.


*Tunggu reaksi Sdr. Anwar Ibrahim

wasalam

Selamat berhijrah dan tahun baru

Sebagai insan kecil di atas muka bumi aku mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1430 dan selamat tahun baru 2009.

Tahun baru bagi kalendar Islam dan Masehi kali ini agak unik kerana ia jatuh pada hari yang berdekatan. Aku berharap kedatangan kedua-dua tahun baru ini akan memberi sinar baru kepada semua umat Islam dan rakyat di negara ini.

Moga-moga kedatangan tahun baru ini akan membuka pintu hati umat Melayu-Islam di negara ini supaya sedar dengan pergolakan dan tekanan yang diberikan oleh pihak tertentu untuk menghakis kepentingan Melayu-Islam yang sekian lama dinikmati.

*Aku tiada azam baru, cuma memperbaharui azam lama yang tidak pernah tertunai...

wasalam

Friday, December 26, 2008

Harakah vs media arus perdana

Setiap kali timbul isu besar yang menunjukkan kelemahan seseorang individu terutama dari parti pembangkang maka timbullah media berat sebelah atau tidak memberikan liputan yang benar.

Sebagai contoh, jika kita membuka harakah bil 1401, di muka N20 terdapat dua laporan yang mempertikaikan laporan media arus perdana.

Sebagai seorang yang berada dalam industri ini biarpun hanya nama kecil dan membuat liputan mengenai program tersebut, aku terasa amat terpanggil untuk menjawabnya.

Salah satu laporan tersebut bertajuk: Hanya isu hudud ditemui media di wacana perdana. Soalnya mengapa tajuk ini yang dibangkitkan? Apakah tidak benar laporan yang dibuat oleh media arus perdana? atau adakah untuk menutup kelemahan diri dengan mengalihkannya kepada orang lain. Dan kenapa tidak dinafikan terus berita yang dilaporkan itu. Dan kenapa Harakah juga melaporkan tentang kebaikan ucapan Khairy Jamaluddin pada majlis tersebut.

Ini merupakan persoalan yang perlu dijawab sekiranya mahu menyalahkan media. Megapa perlu takut dan mula menyalahkan orang lain kita bercakap benar.

Seingat aku laporan mengenai hudud tersebut tidak mencemarkan Pas kerana ia lebih banyak bercakap atau berkisar tentang dasar serta perjuangan parti tersebut. Sepatutnya kita merasa bangga jika orang bercakap mengenai dasar perjuangan selama ini, ini pelik Harakah dan Pas menjadi takut.

Mungkin Harakah takut rahsia Pas yang mula lari dari asas perjuangannya akan mula terbongkar... atau takut kepada Lim 'Umar Abdul Aziz' Guan Eng demi kuasa.

Harakah sedarlah dalam dunia realiti... jangan asyik salahkan orang...

*pelik ye tak pernah pula aku terbaca dalam utusan, star, nst atau berita harian yang serang laporan harakah... hehehehe...

Thursday, December 25, 2008

Hudud oh Hudud

Selepas media menyiarkan laporan berhubung jaminan Husam bahawa hudud akan dilaksanakan sebaik sahaja pakatan pembangkang memerintah Malaysia. Keesokan harinya Husam membuat sidang akhbar menyatakan ia mungkin ditangguhkan sehingga rakyat dan semua ahli dalam pakatan dapat menerima hududnya.

Katanya dalam pakatan keputusan dibuat secara multiletaral dan bukannya unileteral, justeru itu Pas terpaksa menunggu persetujuan daripada PKR dan DAP.

Dalam sidang akhbar tersebut juga Husam mengakui bahawa ia bukan satu keutamaan bagi parti itu untuk melaksanakan hudud kerana banyak lagi isu mendesak yang perlu diselesaikan seperti perpaduan kaum dan kestabilan ekonomi.

Hairan juga aku kenapa tiba-tiba ia tidak menjadi keutamaan sedangkan selama ini ia adalah perjuangan utama Pas. Apakah demi kuasa Pas sanggup melupakan dasarnya atau jika tidak bernasib baik melupakan terus hududnya kerana tidak mendapat persetujuan rakan lain.
gambar dipetik dari http://msomelayu.blogspot.com

Jadi untuk apa perjuangan yang diasskan sejak lebih separuh abad ini, adakah untuk kuasa semata-mata.

Pada sidang akhbar itu juga, Husam menjelaskan rasa kecewa dengan pemberita surat khabar Cina kerana menyiarkan laporan yang tidak menyebelahinya - sebab hanya highlight cerita hudud.

Katanya, pada wacana itu beliau turut bercakap mengenai perjuangan dan pembelaan terhadapa ke sama rataan kaum di mana kaum cina dan india yang miskin tidak mendapat pembelaan daripada BN melalui dasar diskriminasi DEB.

Kenapa Husam kecewa dengan pemberita cina, malah sebelum sidang media tersebut diadakan beliau amat menunggu kedatangan pemberita daripada surat khabar Cina untuk menjelaskan isu ini semula.

Semasa aku tiba pada sidang akhbar di tingkat bangunan Pas itu pada hari Ahad itu hanya ada wakil dari Sin Chew dan Star. dan pada ketika itu, dia bertanya mana lagi surat khabar cina.

Pada mulanya aku tak faham tetapi apabila beliau menyebut mengenai perkara di atas jela menunjukkan beliau hanya mahu memberi penjelasan semula kerana bimbang ia akan menjejaskan sokongan kaum cina kepada Pas.

Nampak sangat beliau merasa amat goyah ditambah pula dengan kenyataan dari Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang menolak hudud mentah-mentah.

Husam juga menyalahkan media arus perdana yang disifatkannya sengaja memperbesarkan isu ini bagi menarik sokongan lebih 11,000 pengundi cina di Kuala Terengganu.

Ini memang sifat tabii Husam menyalahkan Utusan dan RTM. Malah dalam wacana tersebut beliau menyifatkan minda Khairy sama dengan minda utusan yang lapuk dan jumud.

Aku hairan kalau benar utusan jumud dan lapuk kerana beliau bimbang dan memanggil sidang akhbar untuk menjelaskan isu ini. Nampaknya sejumud-jumud utusan, Husam masih takut walau pun sering memperlekehkan Utusan.

Pada sidang akhbar itu aku sempat bertanya adakah beliau rasa telah diperengkap oleh Khairy dalam isu hudud, Husam berkata tidak malah sebagai seorang Islam beliau berbangga.

Aku amat bersetuju dengan jawapan itu tetapi dari segi realiti politik tidak begitu namun beliau mahu menutup kesilapannya yang tersepit di antara kuasa dan perjuangan. Aku juga amat kecewa apabila hukum suci ini hanya menjadi bahan permainan untuk mendapatkan kuasa politik sahaja.

***Aku sebenarnya tak tahu sama ada utusan dijemput atau tidak untuk hadir pada sidang akhbar tersebut, aku cuma pergi bila dapat tahu dengan muka tak malu. tapi alhamdulillah tidak dihalau.... hehehe....

Apa pun ini realiti sebenar pada sidang akhbar... tuan-tuan fikirlah sendiri....

Wacana: Khairy menang, Husam terperangkap

SEBELUM ini mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah benar Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan hadir sebagai ahli panel pada Wacana Transformasi Politik Malaysia yang diadakan di 'lubuk' Pas di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu lalu.

Biarpun sehingga ke saat-saat akhir sejam sebelum wacana itu berlangsung masih ada suara yang meragui kehadiran Ahli Parlimen Rembau tersebut.

Kira-kira pukul 9.30 malam, pertanyaan dan kesangsian hadirin terjawab apabila Khairy berada di atas pentas bersama dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.

Turut berada di atas pentas Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr Mohammad Agus Yusoff sebagai pemudah cara.

Kehadiran Khairy untuk hadir menunjukkan keberanian beliau berada di lautan manusia yang berkopiah putih dan hijau pada malam itu.

Pada masa yang sama lebih 3,000 orang berada di dalam dan luar dewan utama Balai Islam tersebut dan hanya sekelompak kecil tidak sampai 300 orang menjadi tukang sorok untuk Khairy.

Jika wacana ini diandaikan sebagai perlawanan bola sepak sudah pasti pemimpin lulusan Universiti Oxford ini berhadapan dengan tugas getir dan peluang untuk menang amat tipis kerana beraksi di tempat lawan tambahan pula lawannya bukan calang-calang orang.

Ketika pentas dibuka, wacana yang dianjurkan atas dasar ilimiah tersebut dibahagikan kepada tiga pusingan dan dimulakan oleh Husam sebagai tuan rumah untuk menghuraikan tema forum tersebut secara terperinci. Setiap ahli panel diberikan masa lima minit untuk memberikan hujah mereka.

Seperti biasa Exco kerajaan Pas Kelantan itu membuka gelanggang dengan membacakan ayat al-Quran bersama huraiannya sekali - agak panjang lebar. Seperti biasa juga, Husam mengemukakan fakta untuk memperkuatkan hujahnya tentang perubahan politik yang berlaku di negara ini - ia amat meyakinkan para penyokongnya dan serentak dengan itu bergema dengan takbir.

Ketika menghuraikannya Husam menghentem Khairy dan kerajaan Barisan Nasional yang disifatkannya tidak bertaqwa dan mengamalkan rasuah serta tidak layak untuk menjadi pemimpin di muka bumi ini.

Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan jelas kelihatan para penyokong Pas menanti Khairy mengeluarkan hujahnya, bagi mereka ini peluang terbaik untuk memalukan calon Ketua Pemuda UMNO tersebut jika terdapat kelemahan atau kesilapan dalam percakapannya.

Bagaimanapun penantian penyokong-penyokong tersebut tidak menjadi kenyataan, Khairy tampil dengan langkah bergaya dengan memulakan definisi transformasi politik negara dengan sepotong ayat al-Quran yang menceritakan tentang tanggungjawab menjaga dan memikul amanah di muka bumi ini.

Beliau dengan sinis menempelak Husam; "Walaupun Datuk Husam hentam saya semacam saja tadi, saya dapat menerimanya atas dasar ilimiah."

Definisi yang diberikan oleh Khairy di atas pentas tersebut ternyata mengujakan semua yang hadir termasuk Exco dan beberapa orang wakil rakyat Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jelas kelihatan Khairy nampak lebih bersedia dari segi mental ditambah pula dengan sokongan padu daripada penyokongnya yang kecil itu sehingga hampir melenyapkan laungan takbir yang sering dilaungkan sebelum ini.

Pun begitu, kehadiran Abdul Aziz untuk memberikan definisi tersebut ternyata tidak menyebelahi Khairy, beliau dengan lantang mengkritik dasar kerajaan BN terutama dalam penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhajaya Perlantikan Hakim (SPH).

Abdul Aziz menyifatkan suruhanjaya yang ditubuhkan sebagai 'tidak bergigi' dan tidak ada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan. Kenyataan Abdul Aziz mendapat reaksi daripada penyokong Khairy yang mula bersorok sehingga membuatkan beliau beremosi ketika berhujah.

Ahli Akademik ini juga meminta supaya UMNO berehat selama dua penggal dan memberikan peluang kepada pakatan pembangkang untuk memerintah. Katanya ini perlu pernah berlaku pada parti terkuat di Taiwan dan Jepun.

Selepas semua selesai, pusingan kedua bermula di mana setiap ahli panel perlu menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mohammad Agus manakala setiap ahli panel bebas untuk mencelah pada bila masa-masa.

Pada pusingan tersebut wacana yang dianggap ilmiah tersebut benar-benar bertukar menjadi debat di antara Husam dan Khairy manakala Abdul Aziz hanya membiarkan diri untuk mendengar dengan tekun di hujung meja ahli panel.

Di sini bermula episod yang menunjukkan kematangan Khairy dalam berhujah. Biarpun 'dihentak' daripada pelbagai sudut, beliau dengan tenang menjawab semua soalan dan tuduhan yang dilemparkan.

Paling menarik apabila beliau memerangkap Husam dalam soal hudud biarpun pemimpin kanan Pas itu cuba mengelak beberapa kali. Desakan demi desakan memaksa Husam menjawab; "Ya kami akan buat (hudud)," biarpun beliau sedar kenyataan seperti ini akan menimbulkan kemarahan rakannya dalam pakatan pembangkang terutama DAP.

Pusingan ketiga mengambil tempat kira-kira 15 minit selepas pukul 11 malam, pada pusingan ini khalayak di beri peluang untuk bertanyakan soalan, seperti yang dijangka lebih banyak soalan kepada Khairy, ini termasuk lima soalan daripada Hu Pang Chow - Pengerusi Kelab Penyokong Pas. Soalan kepada Husam hanya dua - itu pun tidak menjawab.

Setiap ahli panel diberikan peluang untuk menjawab soalan dan kemudiannya menggulung untuk menutup wacana. Menarik apabila Khairy menjawab semua soalan walaupun ada di antaranya yang telah diulas oleh Aziz Bari dalam sesi sebelum ini, Pemimpin muda ini menutup hujahnya dengan mengucapkan terima kasih dan penghoramatannya kepada Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun berbeza dengan Husam, beliau tidak menjawab soalan malah hilang kawalan apabila diprovoke oleh tukang sorak Khairy, Husam mencabar " "Apa saudara tidak yakin dengan wakil saudara, mari naik sendirilah atas pentas."

Seperti ceramah politik Pas yang biasa, Husam menutup wacana tersebut dengan perbezaaan parti kebangsaan dan parti Islam. Ungakapan klise pemimpin Pas sebelum ini terutama Nik Abdul Aziz.

Saya tertarik dengan kesimpulan yang dibuat oleh blogger MSO yang menyifatkan debat itu menyebelahi Khairy kerana sifatnya yang lebih tenang, merendah diri, terbuka dan 'apologetik' kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Aziz Nik Mat kerana hadir sebagai tetamu.

Malah ada menyifatkan kemunculan Khairy di atas pentas wacana anjuran Urus Setia Penerangan Kerajaan Kelantan di sini baru-baru ini seakan-akan melengkapkan cabarannya untuk menghampiri jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Mac depan.

Ada juga yang beranggapan wacana berkenaan mungkin lebih hebat dari Debar Perdana di antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan sebelum ini.

Pada masa yang sama keterbukaan kerajaan Pas Kelantan dalam menganjurkan debat seperti ini wajar dipuji pun begitu kehadiran penonton yang fanataik perlu dikawal kerana ia mungkin mencemarkan suasana majlis ilmu itu.

Ia juga menunjukkan negara ini sedang menuju ke arah kematangan berpolitik secara sedikit demi sedikit dalam era globalisasi ini.

Wacana yang berakhir tepat pukul 11.45 malam berjaya menambat kesemua penonton dari pulang awal pun begitu diharapkan mereka bukan hanya menang sorok tetapi mendapat ilmu daripadanya.

Ketika Khairy pulang dengan perasaan yang menyenangkan, Husam terpaksa berfikir untuk menjelaskan semula maksud kenyataannya kepada rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk melegakan mereka.


*Posting ini agak terlewat dibuat disebabkan sibuk dengan tugas hakiki, aku tetap membuat posting di atas rasa tanggunjawab aku kerana berada di dalam dewan besar tersebut. Di bawah ini pandangan aku sebagai pemerhati kecil dunia politik tanah air.


wasalam

Wednesday, December 17, 2008

Jual Beli di internet

Dah lama aku nak buat posting nie... tapi seperti biasa jari jemari aku nie agak kaku dan malas mengetuk...

Hari ini aku berjaya untuk buat posting nie walaupun dalam mood penyakit Mim Alif Lam Sin (Malas)...

Postingnya begini... aku amat tertarik dengan kawan-kawan aku nie... mereka amat opurtunis dengan menukar blog menjadi laman bisnes untuk menambahkan pendapatan... walaupun menjual tudung dan kain tapi aku melihat ia satu permulaan yang baik...

Langkah manlukeman memperkenalkan bisnes jual kain melalui internet kepada orang rumahnya amat baik, daripada duduk saja dapat juga duit poket tak payah modal besar....

dua tiga hari ini aku tengok pula adik atau kakak rakan bloger aku wanfai turut menjalankan bisnes yang sama...

Satu saja aku terfikir kenapa la dulu masa orang rumah aku tak kerja aku tak nampak peluang nie... hehehe kalau tak aku lagi advance dari diaorang... hehehe...

apa pun selamat maju kepada bakal jutawan internet ini, aku doakan semoga bisnes kalian sukses...

buat rakan-rakan yang berminat untuk membeli kain atau tudung dari dua rakan aku nie boleh tengok dalam blog : http://zirabukhara.blogspot.com/ dan http://daniaqistin.wordpress.com/

wasalam....

*lepas nie aku nak buat bisnes jual kopi, pekasam dan budu melalui internet pula... ahaks...

Tuesday, December 16, 2008

Inilah Melayu

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "


Nukilan : Usman Awang

Monday, December 15, 2008

Debat : Khairy Jamaluddin Vs Husam Musa


Berita terbaru aku terima Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan berdepan dengan 'master mind' kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa - Naib Presiden Pas dalam wacana transformasi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu (20 Dis. 2008) ini.

Pertembungan ini amat menarik (kalau benar-benar berlaku sebabnya kalau berdebat ini last minit mesti tak jadi).

Aku amat berharap wacana (bahasa mudahnya 'debat') ini menjadi kenyataan. Kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan dalam berhujah dan paling menarik ia juga akan menjadi satu bonus kepada Khairy yang akan berhadapan dengan Mukhriz dan Khir Toyo dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Ini juga peluang bagi Husam membuktikan dirinya sebagai pemimpin terbaik selepas keyakinan ahli Pas mula terhakis disebabkan hubungannya yang terlalu akrab dengan Anwar Ibrahim.


*kita tengok sapa yang kena

Tok Ali dan Mike Tyson - kompromi

Baru-baru ini aku sempat berbual panjang dengan orang kuat Tok Ali (Datuk Seri Mohd. Ali Rustam) semasa rombongan dari Melaka itu singgah di negeri ini dalam perjalanan mereka buat roadshow di seluruh negara untuk pemilihan UMNO Mac ini.

Sebelum ini banyak perkara menarik aku dengar mengenai pemilihan termasuk usaha-usaha kompromi supaya hanya ada pertandingan dua penjuru untuk jawatan timbalan presiden. Aku anggap usaha kompromi itu satu khabar angin sahaja untuk sedapkan dan panaskan pemilihan - sebelum ini.

Tapi selepas berbual panjang di tepi Sungai Kelantan sambil pekena Tom Yam dengan orang kuat Tok Ali baru-baru ini, dia sahkan usaha kompromi antara Tok Ali dan Mike Tyson (Tan Sri Muhammad Muhd. Taib) memang sedang rancang berlangsung. Mereka hanya mahukan pertandingan dua penjuru sahaja.

Kata orang kuat itu, Tok Ali mempunyai peluang yang lebih besar untuk berhadapan dengan Tan Sri Muhyidin Yassin berbanding Mike Tyson. Aku pun mempunyai pendapatyang sama memang Tok Ali lebih berpotensi untuk memberi saingan kepada Muhyiddin.

Sekiranya ini berlaku, Muhyiddin perlu bekerja keras kerana beliau bakal menghadapi tentangan yang sengit tambahan pula Pak Lah telah menunjuk kepada Tok Ali sebagai bakal Timbalan Presiden.

Biarpun apa pun terjadi aku berharap pemilihan kali ini berjalan dengan bersih dan tidak berulang tragedi pemilihan sebelum ini di mana parti akan berpecah lagi.

Jadikan pemilihan sebagai gelanggang untuk memperkukuhkan UMNO dan bukannya untuk menjahanamkan UMNO. Ingat namanya pemilihan dan bukannya pertandingan. Dua perkara yang berbeza.




wasalam

Tuesday, December 2, 2008

Selesema

hari kelima tidak nampak matahari di Kota Bharu... rumusan aku...
hujan + sejuk + selesema = lemau....