Sunday, October 19, 2008

Kesiannya Khairy...

Ketika kempen untuk pemilihan pemuda UMNO Bahagian Sik berlangsung, dua kem yang bertanding cuba untuk menjauhkan diri daripada Khairy Jamaluddin (KJ). Masing-masing membuat tuduhan kem ini dan itu orang KJ. Ini disebabkan ramai yang melihat pemuda bahagian ini mempunyai kubut kuat KJ disebabkan hubungan akrab di antara bekas ketuanya dengan menantu PM itu. Maka berlakulah saling tuduh menuduh. Mereka bimbang sekiranya dilihat sebagai orang KJ akan ditolak oleh perwakilan. Maka berlaku tuduh menuduh dan masing-masing mengakui penyokong setia Datuk Mukhriz Mahathir. Ia disebabkan tren perwakilan di Kedah pada masa kini. Malah sampai saat akhir sebelum persidangan bermula, ada yang berkempen dari rumah ke rumah perwakilan mengatakan kem lagi satu orang KJ.
Saya pun menolak siapa saja yang bersengkongkol dengan Khairy. Sampai sekarang saya tidak tahu kebenaran siapa penyokong tulen Mukhriz dan sebaliknya.

Kesiannya dan hinanya Khairy semua orang Kedah cuba menjauhkan diri darinya, entah pada dosanya pada kita pun tidak tahu, cuma persepsi buruk tentangnya kedengaran. Apa pun, episod Khairy ini satu pengajaran kepada kita supaya jangan terlalu menunjuk-nujuk dan cuba menjadi jaguh.

*Rasa dapat teka siapa orang Khairy.

Perjalanan Yang Jauh

Tahniah kepada para perwakilan yang hadir dan menjayakan pada persidangan agung Pemuda UMNO Bahagian Sik, Sabtu lalu (18 Oktober 2008).

Pelbagai kejutan berlaku pada persidangan tersebut dan yang paling mengejutkan ialah saya terpilih sebagai jawatankuasa pemuda UMNO bahagian tersebut - diluar jangkaan. Terima kasih kepada para perwakilan kerana memberikan kepercayaan ini.

Kejutan yang paling mendukacitakan ialah perbahasan usul tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup kourum. Kenapa perkara ini berlaku. Saya berpendapat ia disebabkan para perwakilan tidak faham agenda ini dan tidak tahu tujuan sebenar persidangan tersebut diadakan.

Kedua mungkin perwakilan sudah bosan untuk membahaskan usul kerana mereka berpendapat ia perkara sama dan tidak ada sebarang perubahan dilakukan.

Agak mengejutkan juga apabila 'nakhoda' yang mengemudi rakit saya, saudara Nazri Abu Hassan tewas dengan majoriti lima undi kepada Mahadzir Abd. Hamid. Hampir 90 peratus rakan-rakan 'serakit' saya karam bersama kapal kami, hanya dua anak kapal yang terselamat iaitu saya dan Mohamad Shukeri Harun.

Memang ada dua tiga lagi rakan serakit saya terselamat malah dengan majoriti yang tinggi tetapi mereka belayar bersama nakhoda secara serentak, Nazri dan Mahadzir. Ada yang mengatakan mereka ini 'golok dua mata' dan ada yang juga yang memuji bijak. Entah mana satu yang betul.

Secara jujur kemenangan saya ini juga sedikit sebanyak disumbang oleh saudara-saudara dan rakan sekolah dahulu saya yang belayar bersama Mahadzir. Mereka (Fazil dan Ali) juga menang.
Pun begitu tanpa pertolongan Nazri dan rakan-rakannya seperti Abang Chik mungkin saya tidak tersenarai sebagai calon ajk pemuda. Saya amat terhutang budi kepada mereka yang mengapungkan nama kecil ini di pentas politik. Saya tidak mampu membalas jasa baik mereka dan hanya berdoa agar ia dibalas tuhan -amin.

Saya agak kagum dengan Nazri kerana beliau sanggup untuk menawarkan diri buat kali kedua walaupun pernah tewas pada pemilihan 2004. Ketika itu saya bersama beliau juga. Kali ini beliau tampil dengan nafas dan tenaga yang berbeza tetapi sayang tewas. Mungkin ada rahmat disebaliknya. Angkat tabik dan salut untuk Nazri kerana kejujuran serta keikhlasan untuk berkhidmat kepada parti. Jangan kecewa diharap suadara akan terus menyumbang bakti kepada parti.

Sebagai pengamal media, saya melihat kekalahan tersebut disebabkan beberapa faktor. Ini adalah pandangan jujur saya. Pertama, kebanyakan jentera-jenteranya yang bergerak di akar umbi tidak disukai oleh para perwakilan kerana sikap mereka yang dikatakan agak vokal, keras dan agresif. Rungutan ini kedengaran ketika sebelum, semasa dan selepas persidangan. Kata mereka, 'Gaya Samseng'.

Kedua, pengendalian pemilihan yang kurang adil. Kepimpinan pemuda bahagian memberikan terlalu banyak kelebihan kepada rakit Mahadzir. Contoh, nombor calon, mungkin remeh tetapi ia memberikan kesan yang besar kepada para perwakilan semasa mengundi. Hampir 90 peratus calon rakit saya mendapat nombor yang besar. Tetapi saya bernasib baik kerana mendapat nombor bertuah 23 - sama dengan David Beckham. Kebanyakan yang menang memegang nombor di antara 1- 10.

Ketiga, restu daripada bekas ketua pemuda, YB Tajuddin yang secara langsung atau tidak telah menuding jari kepada Mahadzir. Ia menyebabkan perwakilan atas pagar terpengaruh.

Keempat, kerjaya Mahadzir sebagai pegawai JASA yang mengkehendaki kerap turun padang membuatkan beliau rapat dengan penduduk setempat. Nazri mungkin menghadapi masalah disebabkan kekangan kerjayanya. Ahli politik pun kena fikir makan minum keluarga juga.

Kelima, kempen saat akhir yang digerakkan oleh jentera Mahadzir. Ia meninggalkan kesan kepada para perwakilan. Kesemua lima faktor ini adalah pandangan ikhlas dan jujur dari saya.

Biar apa pun saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan sedia untuk berkhidmat dengan bos baru, Mahadzir. Biarpun tidak serakit, saya percaya ada titik pertemuan di antara kami. Cuma saya amat berharap tidak dijadikan penumpang di atas rakit ini. Niat saya ikhlas dan sama dengan rakan-rakan lain iaitu untuk berkhidmat kepada parti.

Saya angkat tabik kepada Mahadzir kerana beliau berjaya menghadapi cabaran yang besar ini dengan baik. Sebagai anak kapal yang baru, saya berikrar bermula hari ini akan menjalankan tugas dengan baik, setia dan patuh kepada arahan nakhoda (Mahadzir). Ini adalah prinsip asas bagi memastikan kapal yang dinaiki belayar dengan lancar biarpun dipukul badai dilautan bergelora.

Lupakan sengketa semasa pemilihan, marilah kita merapatkan saf, bersatu kembali untuk meneruskan tradisi dan kehebatan UMNO yang semakin luntur.

Kepada Nazri, saya amat berharap saudara akan terus memberi sokongan dan bersama-sama kami untuk berjuang. Tenaga dan kebolehan anda tidak boleh dibazirkan begitu sahaja. Percayalah tuhan maha adil dan akan menyediakan ruang terbaik untuk saudara dalam parti keramat ini sekiranya benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

Tanggal 18 Oktober 2008, bermula episod baru dalam diri saya, satu perjalanan yang jauh dalam dunia politik tanah air, disaat UMNO dalam keadaan nazak.


*Amat kecewa kerana terlalu banyak fitnah.
Amat kecewa kerana terlalu banyak aliran tunai.

Monday, October 13, 2008

Antara PM dan Presiden UMNO.

Saya amat sanjung keperibadian Pak Lah yang sanggup untuk tidak bertanding pada pemilihan agung UMNO akan datang. Beliau telah memilih keputusan (walaupun agak terlewat) selepas mendengar desakan dari pelbagai pihak termasuk akar umbi parti yang mahukan perubahan dan penjenamaan semula UMNO secara total.

Pun begitu beberapa persoalan yang sedang bermain-main dibenak fikiran saya, iaitu mampukah Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikan Pak Lah biarpun sebelum ini Pak Lah telah memberikan isyarat secara tidak rasmi yang berharap supaya timbalannya akan menjadi penggantinya kelak.

Ini disebabkan pemilihan seorang Presiden UMNO dan seorang Perdana Menteri adalah dua perkara berbeza.

Presiden UMNO adalah tertakluk di bawah perlembagaan parti manakala Perdana Menteri tertakluk di bawah perlembagaan negara. Harus diingat juga kuasa untuk melantik Perdana Menteri tertakluk kepada kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Bab 3 Fasal 40 (2) Perlembagaan Persekutuan Yang Dipertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri
(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen
(c) meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaandan kebesaran Raja-Raja Melayu dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Berdasarkan pengalaman selepas pilihan raya umum lalu, Perlis dan Terengganu adalah contoh terbaik. Apabila pelantikan Menteri Besar kedua-dua negeri dibuat atas campur tangan pihak istana.

Soalnya mungkinkah apa yang terjadi di Perlis dan Terengganu akan berulang lagi.... Adakah Presiden UMNO selepas ini akan menjadi PM Malaysia....


*amat berharap politik negara akan stabil.
masih mencari siapa calon yang paling layak jadi PM.