Thursday, September 17, 2009

SELAMAT HARI RAYA

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Tuesday, August 25, 2009

Peranan Media Massa

1. Pendahuluan

1.1 Peranan Media Massa Ke Arah Pembangunan Negara

Peranan media massa dalam membangunkan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa khasnya akhbar untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur.
Contoh yang paling jelas ialah penubuhan akhbar Utuan Melayu (Utusan Malaysia), ia ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada era sebelum kemerdekaan khas untuk menjadi penghubung, pentafsir dan pemerhati di antara golongan nasionalis dengan rakyat. Ketika rakyat menghadapi saat-saat genting itu, akhbar ini juga menyalurkan sedikit cerita ringan seperti prebiu filem sebagai hiburan untuk menenangkan rakyat.
Setelah mencapai kemerdekaan, zaman mula berubah dan penekanan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah untuk membangunkan negara ini. Di sini peranan media massa seperti Utusan Melayu sekali lagi diperlukan. Agenda-agenda pembangunan disalurkan melalui media massa bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas. Media digerakkan sepenuhnya umpamanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menubuhkan Bahagian Pembangunan dan Pertanian pada tahun 1948, khusus untuk mewujudkan kesedaran kepada rakyat tentang pembangunan.
Ketika negara sedang rancak membangun, secara tiba-tiba ia terberhenti seketika apabila tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 – rusuhan kaum. Ia menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan yang tegang dan memerlukan kerajaan bertindak dengan segara.
Peranan media sekali lagi diperlukan untuk memberikan tafsiran kepada rakyat selepas Perdana Menteri ketika Tun Abdul Razak Hussin memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengurangkan jurang antara kaum bagi mengelakkan berlakunya ketegangan seperti tragedi berdarah itu.
Sejak daripada itu peranan media menjadi semakin penting dalam pembangunan negara bagi menyampaikan maklumat dan menyedarkan rakyat supaya bekerjasama dengan kerajaan. Oleh yang demikian, hubungan di antara media dan kerajaan di negara ini amat rapat maka tidak hairan jika kita melihat akhbar terkenal di negara ini seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star disebaliknya dikuasai oleh parti pemerintah.
Biarpun dimiliki oleh parti seperti UMNO dan MCA, media masih bebas untuk menjalankan fungsinya sebagai pemerhati dalam setiap agenda pembangunan yang dilakukan. Misalnya, pada tahun 2004, Utusan Malaysia melaporkan kerakusan 35 pemaju yang menggondolkan kawasan Bukit Cerakah di Shah Alam sehingga mengejutkan semua pihak termasuk Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pendedahan itu menarik perhatian semua pihak terutama kerajaan. Dalam kelekaan kita mengejar pembangunan aspek alam sekitar dilupakan sehinggakan kawasan tadahan air turut menjadi mangsa
Justeru itu, dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia.
Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya 'Teknologi Maklumat'. Internet digunakan dengan meluas dinihari kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya.
Selain itu, maklumat juga dapat diperolehi melalui cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan peralatan morden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan.

1.2 Definisi Komunikasi Massa

Pelbagai pihak cuba memberikan denifisi komunikasi. Pada tahun 1976 sahaja, Frank Dance dan Carl Larson telah mengumpulkan sebanyak 126 definisi komunikasi yang berlainan. Sedangkan tafsiran yang paling mudah untuk komunikasi ialah perkongsian maklumat dan makna di antara sumber dan penerima.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain lagi manakala komunikasi massa beerti komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya
Menurut Wikipedia, komunikasi adalah satu proses untuk menyampaikan maklumat dari seseorang kepada individu lain dan ramai sarjana komunikasi memperakui definisi tersebut dan Model Lasswell ‘siapa berkata apa kepada siapa melalui saluran mana dengan kesan apa’.
Istilah “komunikasi” atau “communication” sebenarnya berasal dari Bahasa Latin iaitu “communicatus” yang bererti “berbagi” atau “menjadi milik bersama”. Komunikasi menurut kamus bahasa pula ialah mengacu pada suatu upaya yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan.
Berelson & Steiner menafsirkan komunikasi sebagai suatu proses penyampaian informasi, gagasan, emosi, keahlian dan lain-lain melalui penggunaan simbol-simbol seperti kata-kata, gambar, angka-angka dan lain-lain.
Komunikasi massa boleh ditafsirkan ialah proses penyampaian maklumat kepada massa iaitu kumpulan yang lebih besar agar maklumat tersebut dapat dikongsi secara bersama di antara sumber dan penerima. Jika di lihat melalui model David Berlo, 1960 yang menafisrkan bahawa komunikasi melibatkan empat elemen asas iaitu Source – Message – Channel – Receiver (S.M.C.R). Media massa merupakan salah satu saluran (medium) dalam proses komunikasi bagi menyampaikan maklumat. Sebagai contoh, Perdana Menteri (source) ingin menyampaikan gagasan barunya (message) kepada massa (receiver), saluran yang paling mudah untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat tersebut ialah melalui media (channel).


2. Fungsi-Fungsi Media Massa.

Media massa mempunyai fungsinya yang tersendiri biar apa pun penafsiran yang diberikan terhadap sesuatu media. Lazimnya setiap media tersebut mempunyai sasaran khalayaknya yang tersendiri dan oleh itu fungsi yang dimainkanya agak berbeza malah kadang kala ada yang melihatnya dari perspektif yang negatif. Sebagai contoh, majalah hiburan seperti Mangga dan Hai, ia memaparkan kehidupan seharian artis dan ada di antara gambar yang disiarkannya agak keterlaluan. Bagi mereka yang gemarkan media sebegitu akan menganggapnya sebagai hiburan biasa tetapi bagi golongan tertentu mereka melihatnya dari sudut yang berbeza dan menganggapnya sebagai keterlaluan serta lari dari budaya serta hukum agama sendiri.
Secara amnya, para sarjana komunikasi bersetuju bahawa media massa mempunyai empat peranan utama iaitu pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur.
Keempat-empat peranan ini boleh dilihat dengan jelas berdasarkan sasaran setiap media terbabit dan pengisiannya, adakah ia memberikan manfaat kepada khalayak. Pun begitu setiap fungsi terbabit mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Khalayak sewajarnya dapat menilai di antara baik dan buruk suatu media bagi memastikan mereka memperoleh maklumat yang sebenarnya. Seperti apa yang dikatakan oleh John R Wenburg dan William Wilmot, ‘komunikasi adalah suatu usaha untuk memperoleh makna’. Ia juga sejajar dengan Donald Byker dan Loren J. Anderson yang menafsirkan komunikasi adalah satu proses perkongsian maklumat antara dua individu atau lebih.
Sekiranya dilihat secara mendalam, keempat-empat fungsi media massa terbabit mempunyai kesan baik dan kesan buruk kepada khalayaknya. Kesan tersebut akan berlaku sekiranya khalayaknya terlalu bergantung kepada media massa untuk mendapatkan maklumat dan berita yang tanpa merujuk kepada mana-mana sumber alternatif disebabkan terlalu sibuk bekerja dan sikap individualistik.
Pun begitu dalam dunia serba moden ini, akan timbul kekeliruan apabila merujuk kepada terlalu banyak sumber kerana media massa hanya menyampaikan maklumat berdasarkan agenda dan kehendak organisasi yang diwakili mereka manakala selebihnya tidak disalurkan kepada khalayak untuk membuat pertimbangan.
Sebagai contoh, apa yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan New Strait Times amat berbeza dengan Harakah serta Suara Keadilan. Tetapi kedua-dua jenis akhbar itu tidak menipu khalayak kerana mereka hanya mengutip isi yang hanya mengguntungkan organisasi mereka sahaja.
Keadaan bertambah buruk apabila teknologi maklumat berkembang dengan pesat dan timbul media baru yang disalurkan melalui internet seperti blog. Pertumbuhan blog seperti cendawan selepas hujan sejak akhir-akhir ini menyebabkan wujudnya satu fenomena baru di mana khalayak seolah-olah lebih mempercayai blog sedangkan kredibilitinya tidak diragui.
Berdasarkan penerangan di atas secara jelas bahawa fungsi media massa iaitu, pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada khalayak.

2.1 Fungsi Pemerhati.

Peranan media massa sebagai ‘pemerhati’ boleh ditafsirkan – ‘media massa bertugas sebagai pemerhati yang mengawasi sebarang peristiwa yang berlaku disekitar kita’. Melalui pemerhatian tersebut media akan melaporkan kepada khalayak melalui berita atau maklumat tetapi tidak semua perkara yang berlaku akan dilaporkan kerana media hanya memilih peristiwa yang siginifikan dan memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat disekelilingnya.
Bagaimanapun fungsi media sebagai pemerhati terbahagi kepada dua iaitu amaran dan instrumental.

2.1.1 Amaran

Media massa amat peka dan sentiasa memerhatikan keadaan disekelilingnya seperti ancaman bahaya, perubahan cuaca, ramalan cuaca dan kemelesetan ekonomi yang kemudiannya memberi amaran kepada khalayak agar bersiap sedia secara fzikal dan spiritual.
Sebagai contoh, laporan muka depan akhbar The Star pada 12 Jun 2009 mengenai ancaman selesema babi atau influenza A H1N1. Biar pun pada ketika itu, Malaysia belum merasai serangan wabak tersebut tetapi akhbar ini telah memberikan amaran awal kepada khalayak bahawa ia akan tiba di negara ini pada bila-bila masa dengan memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyufatkan penyakit tersebut sebagai pandemic iaitu mencapai tahap tertinggi, fasa enam amaran terhadap anacaman berkenaan. Amaran tersebut terbukti apabila pada 12 Jun, akhbar yang sama di muka depannya melaporkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyifatkan wabak tersebut semakin serius di negara ini biar pun sebelum itu kerajaan mengeluarkan kenyataan supaya orang ramai tidak perlu panik.
Jika dilihat pada satu aspek laporan media itu mempunyai kebaikannya kerana ia memberi amaran lebih awal kepada khalayak supaya bersedia untuk menghadapi wabak berkenaan pada bila-bila masa. Justeru itu, khalayak boleh melakukan persedian dengan mendapatkan maklumat tambahan mengenai selesema babi dan langka-langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka dijangkiti. Khalayak tidak perlu lagi ke sana sini untuk mendapatkan maklumat mengenai penyakit terbabit kerana di akhbar tersebut juga disediakan maklumat tentang langkah-langkah untuk membuat persediaan bagi menghadapi ancaman tersebut.
Tetapi sekiranya khalayak tidak meniliti dengan mendalam laporan terbabit dan tidak mendapat maklumat sebenar situasi selesema babi di negara ini, fungsi sebagai pemberi amaran tersebut akan membawa kepada keburukan yang serius. Ini kerana keadaan itu mungkin akan menimbulkan keadaan kelam kabut pada tahap awal, contohnya, orang ramai tidak berani keluar dari rumah untuk bekerja. Sekiranya tidak dibendung ia akan menyebabkan ekonomi negara terjejas dan keadaan negara menjadi tidak stabil sehingga menyebabkan pelabur bimbang untuk datang ke sini.

2.1.2 Instrumental

Pemerhati berbentuk instrumental ini membantu masyarakat. memperoleh maklumat
seperti harga di bursa saham, produk baru, idea fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini bukan hanya dikhususkan kepada media berbentuk berita, penerbitan-penerbitan ringkas dan kandungan media bertujuan menghibur seperti majalah teknikal juga menjalankan peranan mengawasi.

Contoh yang paling mudah ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyiarkan berita mengenai komentar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan rakyat Malaysia termasuk pelajar yang belajar di sebarang laut untuk memahami konsep dan prinsip 1Malaysia.

Komentar tersebut bertepatan dengan fungsi sebagai pemerhati instrumental. Kebaikannya ialah Konsep yang menjadi gagasan baru yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mahukan rakyat rakyat di negara ini bersatu padu di bawah konsep terssebut menuju ke arah pembentukan satu negara dan bangsa.

Bagaimanapun keburukkannya apabila ia dilihat dari perspektif yang lain terutama dari sudut politik kerana ia akan dilihat sebagai satu modal politik untuk menghadapi persaingan dengan parti-parti politik yang lain sedangkan ia jelas menunjukkan bahawa gagasan itu amat baik bagi mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

2.2 Pentafsir

Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa.

Fungsi pentafsir media massa ini amat berkait rapat dengan fungsi pemerhati. ‘Gatekeepers’ media akan menentukan mana berita yang penting yang akan disebarkan menurut kepentingan dan keutamaannya.

Bukan semua berita yang diterima akan disebarkan di televisyen atau radio. Selain dari menyiarkan berita, media juga menyediakan ruang untuk komentar pembacanya. Artikel yang membincangkan implikasi sesuatu polisi, kritikan, karikatur juga membentuk interpretasi khalayak.

Berdasarkan bahan yang dipaparkan ini, khalayak memperoleh berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka. Interpretasi maklumat juga boleh didapati di halaman editorial surat khabar. Interpretasi, komen dan pendapat disediakan supaya pembaca memperoleh perspektif mendalam mengenai sesuatu pemberitaan.

Fungsi ini juga dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis peristiwa-peristiwa semasa atau polisi kerajaan. Kenaikan harga gas dan impak kepada harga makanan juga termasuk dalam kategori ini.

Sebagai contoh stesyen televisyen TV9 mengadakan program Hujah untuk menjelaskan isu-isu semasa di negara ini dengan melibatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan ia dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Umpamanya dalam satu siri mengenai krisis di Perak yang disiarkan pada 31 Mac lalu, forum tersebut tiga ahli panel telah dijemput iaitu Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM, Prof. Shad Saleem al Faruqi, Peguam Kanan Datuk Shafee Abdullah dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan. Kesemua mereka adalah pakar dalam bidang undang-undang yang dijemput khas untuk memberikan pandangan mengenai kekusutan yang berlaku di Perak selepas tiga adun dari pakatan pembangkang keluar dari parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas.

Melalui program tersebut khalayak dapat menilai dan memahami perkara yang dibincangkan tersebut dengan bantuan tafsiran ahli panel berkenaan. Sekali gus ia dapat membentuk khalayak yang berilmu walaupun secara jelas hujah ketiga-tiga panel terbabit tidak memberikan jalan penyelesaian yang terbaik kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Pun begitu ia sedikit sebanyak membantu khalayak memahami dengan jelas proses perundangan yang berlaku dalam krisis berkenaan dan menyedarkan khalayak bahawa terdapat ‘grey area’ dalam perlembagaan dan perundangan di Perak.

Bagaimanapun keburukannya mungkin percanggahan pendapat di antara ahli panel terbabit menyebabkan khalayak terutama mereka yang berpendidikan rendah bertambah keliru dan sukar untuk menilai serta membuat keputusan pendapat yang mana boleh diterima pakai. Perlu diingat sebagai manusia biar pun berpendidikan setinggi mana sekali pun mereka tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, sebarang maklumat yang kurang tepat atau silap mungkin diketengahkan dalam perbincangan mereka. Akibatnya khalayak mungkin terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat yang lazimnya bergerak sama pantas.

2.3 Penghubung

Media massa berkebolehan menggabungkan elemen yang berbeza di dalam masyarakat. Contohnya, pengiklanan berusaha menggabungkan keperluan pembeli dengan produk penjual. Pengundi mengumpul maklumat berkenaan wakil rakyat melalui surat khabar, televisyen, radio dan laman web. Menerusi rancangan yang disiarkan di media elektronik atau di akhbar, derma untuk kanak-kanak yang sakit dan mangsa peperangan dan bencana alam yang memerlukan bantuan ini.

Fungsi menyampaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan yang dilakukan oleh media. Ia boleh menjadi penghubung masyarakat yang terpisah sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat mahu pun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa.

Dalam perkembangan dunia teknologi maklumat fungsi ini dapat dilihat dengan jelas. Maklumat melalui apa yang dipanggil sebagai media baru ini (internet) berada dihujung jari khalayak. Segala apa yang dimahukan boleh diakses dengan secepat mungkin.

Pelbagai laman web, seperti ensklopidia elektronik ‘wikipedia’, blog, laman berita maya (Utusan Online, Bernama), laman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘friendster’ memudahkan masyrakat berhubung dan mendapatkan pelbagai maklumat walaupun ia berlaku pada masa lampau.

Ia menyediakan wahana dan platform untuk berhubungan antara dua atau ramai orang atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

Kadang kala media Internet juga mencipta perhubungan dan menyatukan kumpulan sosial yang dulunya tidak menyedari bahawa mereka mempunyai minat yang serupa. Fungsi menghubungkan ini juga memperlihatkan kemampuan media menyediakan akses kepada masyarakat untuk menyuarakan kepentingan mereka.

Fungsi menghubung ini walau bagaimanapun ada kelemahannya. Ia mungkin memberi
peluang kepada kumpulan tertentu untuk memprotes sehingga membawa kepada berlakunya pemberontakan. Ini boleh membawa bahaya kepada masyarakat.

2.4 Penghibur

Kebanyakan pihak melihat peranan media untuk menghibur khalayak sebagai fungsi yang paling dominan. Fungsi komunikasi massa yang paling adalah untuk menghibur. Filem, muzik , berita sukan, rancangan hiburan, sitkom dan kartun yang disiarkan di media memainkan fungsi hiburan kepada khalayak dengan kos yang rendah dan murah.
Kebanyakan program di televisyen bertujuan memberi hiburan kepada khalayak. Khalayak menggunakan wang dan masa mereka menonton wayang, mendengar muzik, menyewa video, melihat rancangan komedi di televisyen dan melayar internet.

Fungsi ini boleh didefinasikan sebagai ‘media massa bertugas sebagai penghibur kepada masyarakat melalui program-program hiburan sama ada bermaklumat mahu pun sekadar hiburan semata-mata untuk dimanfaatkan oleh masyarakat’.

Bagi organisasi media penyiaran program hiburan adalah memenuhi kehendak khalayak dan terpulang kepada khalayak untuk memanfaatkannya.

Sebagai contoh Festival Filem Malaysia ke 22 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Ogos lalu. Stesyen televisyen Astro Ria menyiarkan laporan terperinci festival tersebut bermula dari langkah awal artis masuk memasuki dewan tersebut melalui rancangan ‘Karpet Merah’. Ia seolah-olah pertunjukkan fesyen dikalangan pembikin filem di negara yang pastinya selepas ini akan menjadi ikutan khalayak di negara ini.

Di karpet merah tersebut pembikin filem akan ditahan untuk diwawancara dan ditanya mengenai perkembangan semasa mereka seperti aktiviti terbaru dan sebagainya. Ia memberikan laporan terkini kepada khalayak bagi mengetahui perkembangan semasa di mana ada diantaranya mungkin sedang terlibat dalam pembikinan filem terbaru.

Ini semua disebabkan mereka mengetahui melalui fungsi ini ia membawa pulangan yang lumayan kerana setiap gerak geri artis akan menjadi ikutan disebabkan pengaruh mereka yang terlalu kuat. Maka tidak hairanlah pihak industri berebut-rebut untuk mendapatkan artis terkenal sebagai duta produk mereka.

Pun begitu, fungsi ini sebenarnya turut membawa keburukan kepada khalayak. Ketaksuban khalayak terhadap artis akan menyebabkan khalayak akan meniru secara membuta tuli sedangkan ada di antara artis membawa budaya yang amat bertentangan dengan nilai-nilai serta kehendak agama Islam.

Disebabkan keterujaan itu juga kadang kala media massa menyiarkan terlalu banyak hiburan yang mengandungi keseronokan melampau sehingga mengabaikan peranannya yang lain untuk mendidik masyarakat menerima maklumat.



3. Kesimpulan

Secara amnya, media massa di negara ini telah memainkan perananya untuk membangunkan negara ini walaupun ada pihak yang beranggapan bahawa tidak ada kebebasan media. Konsep kebebasan media dalam rangkanya sendiri di mana kerajaan memainkan peranan dalam menentukan media berfungsi sebaiknya dalam masyarakat. Bagaimanapun ruang tetap diberikan kepada media untuk berfungsi sebagai pemerhati dan pentafsir.

Berdasarkan konsep inilah negara Malaysia dapat dibangunkan dengan sempurna tanpa terlalu banyak rintangan kerana media bersama-sama kerajaan membawa satu agenda yang sama. Jika ruang yang diberikan sepertimana di Amerika Syarikat sudah pasti akan timbulnya pelbagai masalah kerana rakyat mungkin keliru dengan dakyah yang disampaikan oleh media yang menyokong kumpulan berhaluan kiri.

Sejarah telah membuktikan bagaimana media massa di negara ini membantu menghapuskan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehinggalah mereka meletakkan senjata dan keluar dari hutan. Seperti yang dijelaskan oleh bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainudin Maidin dalam memoirnya ‘Hero Tak Didendang’, media telah mengetahui sejak awal lagi proses perdamaian di antara PKM dan kerajaan bagaimanapun ia tidak didedahkan. Dalam masa sama, kerajaan meminta media supaya membantu dalam menyiapkan mental rakyat terutama bekas polis dan askar untuk menerima peletakkan senjata itu.

Kesimpulannya media telah memainkan peranannya dengan baik di negara ini, semua peranannya telah berfungsi tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki lagi. Biar pun ada yang menyebut kerajaan mengekang media tetapi dengan wujudnya media baru melalui internet kebebasan telah diberikan sepenuhnya kepada media.

Kerajaan harus mengawal kebebasan media bagi memastikan aspek pembangunan diteruskan dan menyiapkan rakyat untuk terus menerima lebih banyak kemajuan walaupun kadang kala kemajuan itu sendiri yang akan membunuh niat baik kerajaan.



4. Bibliografi

Bungin, B. 2007. Sosiologi Komunikasi: Teori, Paradigma, dan Diskursus Teknologi Komunikasi di Masyarakat. Kencana. Jakarta
Effendy, Onong Uchjana. 2003. Ilmu, Teori, dan Filsafat Komunikasi. (Bandung: PT. Citra Aditya Bakti).
Griffin, EM. (2003). A First Look at Communication Theory, 5th Edition. USA: McGraw-Hill
http://en.wikipedia.org/wiki/Communication
http://ms.wikipedia.org/wiki/Komunikasi
http://www.youtube.com/watch?v=Wzl9sPI3fZs
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=431208
Littlejohn, Stephen W. (2002). Theories of Human Communication. USA: Wadsworth Group
Miller, Katherine. (2002). Communication Theories: Perspectives, Processes, and Contexts. USA: McGraw Hill
Mulyana, Dedy, 2001, Metodologi Penelitian Kualitatif (Paradigma Baru Komunikasi dan Ilmu Sosial Lainnya). Bandung: Remaja Rosdakarya.

Wednesday, August 5, 2009

Astro tolong kami....

Memang benar kata orang, tidak ada benda di dunia akan turun kecuali air hujan. Justeru itu, tidak timbul rasa hairan bin terkejut dengan tindakan Astro untuk menaikkan harga pakej sukan Astro. Sedangkang tidak ada chanel tambahan yang diberikan.

Alasan Astro sebab kos penyiaran untuk acara sukan di seluruh dunia meningkat. Bagi aku ini bukan alasan. Alasan yang paling tepat apabila menjadi 'pemain tunggal' (bukan pemain bola) dalam bidang ini stesyen berbayar astro boleh melakukan apa saja.

Dulu dibuangnya satu chanel digantikan dengan citra - tambah duit lagi. Tapi pengisiannya tetap sama tak ada yang menarik, cerita lama diulang tayang balik.

Sekarang naik harga baru pula tapi bila hujan lebat boleh tengok ke... orang kata bercakap banyak pun tak gunakan. Kalau boleh aku dah tak nak langgan Astro mahal sangat tetapi terpaksa kerana CINTAKU kepada 'Manchester United'.

Aku minta tolong kepada stesyen tv yang lain tolonglah langgan siarkan siaran langsung BPL terutama membabitkan game Man U. Kalau naik sampai seratus ringgit tahun depan tak tahu la. Mungkin terpaksa korbankan Man U aku.... Astro dengarlah rintihan hati kami yang ketagih bola... janganlah dinaikkan lagi yuran langganan.

Sunday, July 26, 2009

Al-Fatihah untuk Yasmin Ahmad

Malam tadi, pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara setelah menderita akibat serangan strok sejak tiga hari lalu.

Maka seperti biasa ramailah yang akan mengangkat Yasmin sebagai salah seorang pengarah kreatif yang mencertuskan revolusi baru dalam dunia penyiaran.

Tapi bagi aku Yasmin hanya insan biasa, tiada revolusi yang dibawanya, semua filemnya hanya drama biasa yang tiada apa pun baik sepet, mukhsin dan gubra. Cuma aku melihat allahyarham hanya membawa pembaharuan dalam mempromosikan perkahwinan atau percintaan merentasi bangsa dan agama.

Selainya tidak ada apa, kosong malah aku sendiri cuba untuk menikmati Mukhsin tetapi gagal, tiga kali aku cuba menonton dan tiga kali juga aku tertidur ditengah jalan. rumusan, aku tidak ada daya penarik.

Bagi aku, filemnya hanya satu momokan malah kadang-kadang lari dari kebiasaan seperti dialog "Dia kata, dia suruh mama balik, sebab di sini dah ada nurse yang jaga dan tolong 'gentel' sotongnya." (kurang lebih begini - setakat yang aku ingat).

Dalam sepet pula, berkemben sepanjang masa. soalnya adakah ini budaya melayu dan pada masa yang sama seolah-olah mengagungkan budaya kaum lain serta meletakkannya lebih tinggi dari budaya sendiri.

Mohon maaf kalau tulisan aku mengguris, bukan niat aku untuk menghina Allahyarham tetapi hanya menyampaikan pandangan sisi dari mata aku sendiri. Aku kagum dengan sikapnya dan bagi aku terpulang kepada allahyarham untuk berkarya tetapi aku hairan kenapa golongan tertentu tidak melihat dari sisi lain dan mengangkat naskah-naskah itu terlalu tinggi martabatnya.

Dari pemerhatian aku, ada golongan tertentu termasuk media mengangkat beliau terlalu tinggi sehingga memberi liputan seolah-olah negara kehilangan seorang yang amat berjasa. Agak berlebihan di sini.

Biarlah roh Allahyarham tenang di alam kekal. Aku doakan agar rohnya dicucuri rahmat.

Amin

*sekadar meluahkan pendapat.

Saturday, May 16, 2009

Istana oh Istana....



Sejak Khamis (14 Mei) lalu, seluruh negeri ini gegak gempita apabila Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra gering dan dimasukkan ke wad ccu, HUSM.

Maka seperti biasa, sebagai palapor yang akan menyampaikan kepada rakyat, aku bersama rakan-rakan media yang lain berusaha untuk mendapatkan maklumat terkini.

Bagi pelapor maklumat perlu diperoleh kerana pelbagai versi cerita telah disebarkan malah ada yang mengatakan tuanku telah mangkat pada petang tersebut dan ada yang mengatakan baginda hanya bergantung pada alat pernafasan.

Maka berbondong-bondong pelapor yang berakar di Kota Bharu bergegas ke HUSM dan menelefon ke serata alam untuk mendapatkan pengesahan cerita-cerita itu.

Tetapi seperti biasa, istana membisu entah apa sebabnya, tidak ada seorang pun yang mahu menjawab malah wartawan di layan seperti .... (tiada perkataan sesuai untuk digambarkan) ditendang ke sana-sini. Lebih hina, apabila seorang kakitangan istana menghalau wartawan seperti anjing.

Soalnya, kenapa istana terlalu takut untuk menyatakan kebenaran?. Media hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan kepada rakyat supaya mereka di bawah tidak lagi resah dan gelisah.

Kenapa biarkan rakyat gelisah dan membiarkan spekulasi berlegar?. Rakyat di bawah amat menyanyangi tuanku sultan, mereka juga ada hak untuk mengetahui tentang raja yang disanjung mereka.

Spekulasi akan hanya menjejaskan nama baik Istana. Bersuaralah untuk melegakan rakyat. Patik mohon derhaka...

*Daulat Tuanku...
Menjunjung kasih...

Tuesday, May 12, 2009

Perak - makin pening....

Tidak tahu apa lagi hendak kata dengan isu Perak. Sebagai rakyat marhain di bawah ini, aku semakin, pening dan celaru... apa yang akan jadi selanjutnya.... UMNO ada kebenarannya dan pakatan pembangkang pun sama juga... tetapi soalnya kenapa selepas tiga ADUN baru Dewan Undangan Negeri nak dibubarkan... kenapa tidak dibubarkan lebih awal lagi....

Paling penting, kenapa ketika mahkamah membenarkan supaya Datuk Dr. Zambry dan enam exconya hadir pada Sidang DUN, pakatan pembangkang tidak patuh keputusan mahkamah tetapi kenapa pula bila keputusan semalam yang memihak kepada mereka dipatuhi pula....

*entahlah semakin celaru...

Dua wanita terhebat di dunia....



Bagi aku tiada wanita yang paling hebat di dunia ini kecuali...
Ibuku yang tercinta Hajjah Azmah Haji Senawi dan Ibu kepada dua puteriku Roshaizai Yaacoob... kedua-duanya aku panggil ibu tapi bunyinya berbeza Mak dan Mama....
SELAMAT HARI IBU....

Sunday, May 3, 2009

Genderang perang bermula

Lebih seminggu saya mengikuti secara rapat perkembangan yang berlaku dalam Pas. Maka dicelah itu pelbagai perkara yang berlaku.

Suhu pemilihan Pas yang berbaki kurang lebih tiga minggu lagi semakin meningkat dan genderang perang makin kuat dipalu oleh hulubalang-hulubalang puak-puak tertentu.

Jika sebelum ini, kita melihat Nasharuddin diserang hebat oleh golongan Erdogan yang diketuai oleh Husam Musa, kini giliran Nasharuddin yang mewakili golongan ulama pula bangkit mempertahankannya dan sesekali menyerang dan menyerang lagi dengan hebat.

Gerakan Nasharuddin sudah bermula dengan senyap dan ia kian merebak dari masjid ke masjid, markas ke markas dan warung ke warung dan menyelinap masuk ke roh Pas di seluruh Kelantan.

Dan pada masa yang sama hulubalangnya yang selama ini tidur telah dikejutkan dan bingkas bangun menggalas senjata untuk memastikan ketuanya akan terus bertahan daripada diganggu gugat oleh golongan Erdogan.

Ia bermula dengan Nik Abduh kemudian diikuti dengan Duad Iraq dan Nik Amar dan esok, Takiyuddin.

Sebenarnya, gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan ulama telah lama bermula dan dari saf kepimpinan mereka melihat titik yang paling lemah adalah Nasharuddin kerana sikapnya yang berlemah lembut.

Soalnya, mereka lupa kenapa Nasharuddin berdiam diri selama ini?. Ia disebabkan beliau tahu kedudukanya sebagai orang nombor dua dan tidak perlu berbuat bising, apa yang penting buat kerja, kerja dan kerja.

Erdogan pasti akan berhadapan dengan tugas berat biarpun dari sisi pungutan suara untuk mendapatkan pencalonan mereka mendahului. (Mungkin juga apa yang terjadi pada Mukhriz disiarkan semula dalam versi Pas).

Bagi saya pertandingan jawatan timbalan presiden Pas hanya terarah kepada dua calon iaitu Husam dan Nasharuddin. Baki tiga lagi calon tidak akan memberikan impak besar dan saya percaya mereka pastikan akan menarik diri.

Pun begitu, saya percaya pergolakan ini hanya berlaku diperingkat tertinggi dan ahli-ahlinya masih utuh menyokong perjuangan Pas - biar apa pun terjadi, tidak kira siapa di atas. Ia seperti dizaman kegemilangan UMNO, biar Tun Mahathir berperang dengan Tengku Razaleigh sekali pun - UMNO tetap utuh dan kuat.

Apa pun rakyat masih berharap Pas tetap dengan perjuangannya iaitu dipimpin oleh ulama, jika tidak Pas sama seperti UMNO tiada bezanya.

*Pening berfikir
kata nabil - lu fikirlah sendiri...

Wednesday, April 29, 2009

Serangan panas Nik Abduh - satu strategi

Sejak beberapa hari lalu, seluruh negara gegak gempita apabila anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh menyerang pembantu-pembantu politik ayahnya.

Biar pun saya bukan orang yang pertama melaporkan apa yang diluahkan oleh Nik Abduh dalam blognya tetapi ia memberi kesan yang amat mendalam.

Secara peribadi saya melihat tulisan Nik Abduh amat bagus, tajam, tepat dan keras. Ia amat kontra dengan sikapnya yang rendah diri dan lemah lembut - agak sukar untuk mempercayai beliau pernah berjuang dengan mujahidin di Afghanistan.

Setelah membaca dan mengkaji perkataan-perkataan itu, saya telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta mendapat pandangan dari sudut berbeza.

Jawapan yang saya peroleh, seperti yang dijangkakan, kata ustaz muda itu; "ana sudah tulis, boleh ambil dari blog ana, tidak ada apa lagi, nanti ana akan jelaskan lagi."
Suaranya amat lemah lembut amat berbeza dengan tulisannya amat keras dan mendalam.

Kini, semua pihak tidak kira UMNNOnya, Pasnya, PKRnya, DAPnya, MCAnya, MICnya hatta Kimma bercakap dan menganalisis tulisan tersebut - kesimpulannya mungkin boleh dibuat begini, Pas sedang mengalami krisis di antara ulama dan profesional.

Tapi saya mempunyai pandangan yang berbeza. Saya simpulkan begini - tidak ada pergolakan dalam Pas.

Kerana apa? kerana ia hanyalah salah satu staregi untuk menarik simpati rakyat terhadap parti itu - reverse psychology.

Sebenarnya dengan cara menimbulkan isu begini sahaja mereka boleh berada di pentas media arus perdana dan untuk menarik perhatian rakyat di negara ini.

Dan dicelah itu juga mereka akan laungkan Utusan Malaysia buat hal lagi, putar belit fakta. Dan di sinilah mereka akan mendapat simpati disebabkan lagu ini memang berkesan untuk menarik pendengar-pendengar setia yang tidak tahu hujung pangkal.

Inilah strategi untuk meniupkan ribut palsu dan menutup keamanan dan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk membantu rakyat. Fikirlah hujah ini kalau tidak benar pun mungkin ada sedikit kebenaran.

wasalam.

*tuan MSO terima kasih kerana mengkritik laporan saya dalam Mingguan Malaysia tempoh hari.

Nik Nur Madihah - aku sedih


Gambar ini memberi seribu makna

Jika dulu tiada siapa yang menggenali Nik Nur Madihah tetapi kini dia kini menjadi ikon wanita di negara ini tidak kira yang masih belajar atau pun yang membimbing anak-anak bangsa.

Kejayaan luar biasa disebalik keperitan hidupnya menyentuh jiwa setiap penduduk di negara. Ini semua impak daripada laporan muka depan Utusan Malaysia yang memaparkan teratak buruk tempat diamnya mereka sekeluarga.

Aku akui laporan itu aku tulis dan digarab bersama emosiku yang bangga, gembira dan sedih dengan kejayaan luar biasa walaupun ketika itu ada beberapa persoalan yang timbul dibenak fikiran aku.

Aku menepis semua persoalan itu kerana niatku hanya satu untuk membantu insan ini supaya semua mata tidak kira bapa-bapa menteri di Kuala Lumpur atau pun ustaz-ustaz berkopiah di Kelantan.

(Aku tahu dan amat faham jika cerita ini letaknnya di muka depan Utusan Malaysia, impaknya amat luar biasa, semuanya mahu meraih kepentingan politik, masing-masing mahu tunjuk juara - jika benar mereka cakna rakyat kenapa tidak dahulu lagi didodoi dan dibelai si Nik Nur Madihah ini)

Biarkan cerita poltik ini.

Apa yang aku bangkitkan di sini ialah rasa terkilan aku terhadap bapanya, pasti yang tertanya kenapa patut terkilan, kerana dia sudah mula berubah sikap, agak angkuh mungkin. Ramai teman mediaku merungut tentang sikap bapanya, kata orang putih agak 'fussy'.

Perlu dijelaskan aku tidak terkilan dengan Nik Nur Madihah, bagi aku Nik Nur Madihah dulu dan sekarang masih sama tiada bezanya.

Kejayaan gadis ini satu rahmat untuk mengubah kehidupan mereka, untuk mengembalikan kasih sayang keluarga mereka. Aku amat berharap bapanya tidak lupa diri.

*terkilan dan sedih
Jangan ingat boleh tutup bangkai gajah

Monday, April 20, 2009

Mogok blog

Fuh! lebih dua minggu aku tak membelek blog ini. Mungkin sudah bersawang di laman sesawang ini. Bukan tak mahu membelek tetapi sekadar mahu rilekskan. Rileks dalam erti kata tidak mahu diserabutkan dengan blog dan diganggu dengan seribu satu pertanyaan yang ditimbulkan oleh blogger.

Pun begitu selepas dua minggu, aku dah tak boleh tahan lagi. Terasa rindu sangat dengan blog-blog ini, terutama blogger karib seperti wanfai, manlukeman, ondascene, shahpaskal dan ramai lagi.

Hari ini tepat jam 10 malam, di Cherating, Pahang aku menamatkan mogok blog dan kembali mengikuti semua entry yang aku terlepas dulu.

*im back

Friday, April 3, 2009

Tahniah Najib, Selamat Bersara Pak Lah dan Selamat Kembali Tun M









Selepas pelbagai peristiwa suka dan duka berlaku sejak tahun 2003, akhirnya Pak Lah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis angkat sumpah yang berlangsung di Istana Negara pagi ini melenyapkan pelbagari khabar angin terutama dari Suara Keadilan (lidah rasmi PKR) bahawa Yang di Pertuan Agong menolak pelantikan Najib.

Pada masa yang sama juga, rasa syukur kerana Tun Mahathir telah kembali kepada UMNO. Ini akan membantu untuk memperkuatkan semula parti dan kerajaan.


Harapan dari rakyat bawahan terhadap Najib hanya satu, berikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan kekalkan keharmonian serta kesejahteraan penduduk di negara dengan menghapuskan anasir-anasir jahat yang menggangu perpaduan negara.

*Tahniah Najib dan Selamat Bersara Negarawan, Pak Lah.
Selamat Kembali Negawaran Tun M

Friday, March 27, 2009

Akar umbi dikhianati

Sedih, kecewa dan marah. Itu reaksi daripada ahli pemuda UMNO diperingkat bawah berhubung keputusan Pemilihan Agung Pemuda UMNO yang menyaksikan Khairy Jamaluddin menang jawatan Ketua Pemuda.

Mana tidaknya, akar umbi amat mengharapkan akan berlaku perubahan besar pada pergerakan tersebut dalam memastikan UMNO terus relevan tetapi sayang mungkin buta, tuli dan pekak para perwakilan yang hadir sehingga menyebabkan seorang yang mengaku menjadi liabiliti kepada parti dan bersalah atas tuduhan rasuah politik wang dipilih juga.

Mereka telah mengkhianati suara akar umbi yang terpaksa berdepan dengan musuh-musuh UMNO untuk memberikan 1001 jawapan terhadap kesalahan ketua baru itu. Ini yang membuatkan UMNO akan terus lemah dan dipinggirkan, seorang yang korup diberi jawatan besar. Tidak keterlaluan jika dikatakan perwakilan yang menyokong Khiy Jamaluddin sama juga dengan dia juga - korup. Apa tidaknya jika bapa kencing berdiri anak buah kencing berlari.

Satu tugas yang memenatkan untuk menangkis semua serangan daripada pembangkang selepas ini. Dan tidak hairan juga mungkin UMNO akan dihukum lebih teruk daripada rakyat selepas ini kerana tidak mendengar hasrat akar umbi yang terlalu rapat dengan masyarakat sekeliling.

Malah rata-rata anak muda yang ditemui jalanan tidak dapat menerima keputusan perwakilan itu.

Cuma sedikit boleh menarik nafas lega apabila perwakilan di peringkat tertinggi membuat keputusan tepat dengan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan dan tiga lagi tokoh hebat untuk naib presiden.

*Adakah Pemuda masih relevan?

Tuesday, March 24, 2009

Selamat bersidang....

Hari ini tiga sayap UMNO akan bersidang, terkilan juga kerana tidak kesempatan untuk melihat sendiri apa yang berlaku disepanjang persidang tersebut tetapi tugas lebih penting - sebab periuk nasi.

Harapan aku cuma satu, perwakilan memilih dengan akal fikiran, buka mata hati dan minda, jangan dikaburi dengan duit dan skill pr yang baik sahaja. kedua-dua faktor itu tidak menjanjikan pemimpin yang terbaik untuk menerajui parti dan negara.

Jika ditanya siapa pilihan aku untuk terajui Pemuda UMNO. Ini jawapannya :



SEBAB APA :

BERSIH! BERSIH! BERSIH!

Saturday, March 21, 2009

Quotation menarik....

Sejak tujuh tahun aku menerjunkan diri dalam bidang ini, ada beberapa perkara yang aku takkan lupakan terutama quotation menarik semasa sidang akhbar.

Kebanyakan pemimpin dan selebriti ada gaya tersendiri ketika menjawab soalan terutama ketika diprovok.

Di bawah aku lampirkan qotation tersebut :

Tan Sri Isa Samad



Lokasi : rumahnya di Nilai
Masa : Lebih kurang 10.30 malam, 26 Jun 2005 (kalau tak silap la)
Tajuk : Reaksi selepas digantung Lembaga Disiplin - politik wang

Soalan aku - apa reaksi tan sri dengan keputusan lembaga disilin menolak rayuan tan sri?
Jawapan - Saya tertawa, awak tafsir sendiri. Saya tidak pernah hina UMNO, Tidak Pernah Ludah UMNO, tidak pernah keluar UMNO, jadi mengapa saya perlu buat come back.

Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik

Lokasi : Pejabat Parti Gerakan Negeri Sembilan
Masa : lebih kurang 10.30 malam (tarikh tak ingat tapi rasanya penghujung 2005)
Tajuk : Mengenai penubuhan Universiti Wawasan

Soalan aku - adakah kursus yang ditawarkan oleh universiti ini diluluskan oleh Lembaga Akriditasi Negara (LAN)
Jawapan - Lan, Lan, Lan.. cau lu.... hahahaha... apa punya wartawan bodoh ka... haiya bodoh la mestilah dapat... hahahaha sorry saya gurau saja... nanti u akan miss ini orang tua... boring kalau i serius saja (sambil tersembur air liur, hahaha aku memang miss p/c (press confrence orang tua ni), memang kelakar dengan rokok tak lekang di mulut).


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat


Lokasi : Jambatan Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa
Masa : lebih kurang 12 tengah hari, Februari 2009
Tajuk : Elizabeth Wong.

Soalan aku - kenapa pakatan rakyat tidak mengambil tindakan terhadap elizabeth wong, kalau kena BN cepat desak suruh letak jawatan, kalau pakatan rakyat tak apa.
Jawapan - sebab orang tu tengok sebelah mata, dajal namanya tu (sampai hari ini aku tak faham maksud dia)




*Tiga quotation yang aku ingat sampai hari nie... yang lain tu ada tapi tak berapa ingat sangat mungkin tiga watak ini lebih menarik perhatian aku

Thursday, March 19, 2009

Alif (a) Mim (m) Nun (n) Wau (u/o), Alif tendang Wau - SARKAS

Menarik petikan dari Ramlee dan Sudin dalam cerita Pendekar Bujang Lapok. Mungkin ramai tidak perasan petikan tersebut sebenarnya kalau diterjemahkan berbunyi begini, 'AMNU/O' (UMNO!).

Saya hanya perasan terjemahan kepada petikan daripada seniman agung dan rakan baiknya itu S. Samsudin apabila terbaca ruangan pendapat tulisan Dr. Sahrifuddin Lubis di muka surat 11, Utusan Malaysia 19 Mac.

Petikan itu jika ditenung dan dikaji mungkin benar dengan apa yang ingin disampaikan oleh Ramlee dan Sudin untuk UMNO pada hari ini yang seolah-olah bertukar menjadi parti SARKAS.

Dan mungkin juga benar seperti yang dikatakan oleh ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, apabila alif (A) mim (M) dan nun (N), alif (a) tendang wau diterjemahkan menjadi Akhirnya Melayu Nazak.

Kedua-dua analogi ini boleh diterima akal jika dilihat situasi yang berlaku sekarang namun kecenderongan yang lebih tepat seolah-olah berada pada analogi pertama, SARKAS.

Kenapa dikatakan UMNO SARKAS? sedangkan saya sendiri seorang pendokong setia parti yang memperjuangkan umat Melayu itu. Saya melihat begini, berdasarkan tindak-tanduk pemimpin sekarang terutama pada lembaga disiplin ia memang tidak ubah menjadi bahan ketawa seperti mana badut-badut menghiburkan pengunjung SARKAS.

Mana tidaknya, banyak keputusan yang dibuat seperti badut, seperti yang dikatakan sebelum ini setiap yang bersalah perlu dikenakan hukuman, itu hukum alam, tetapi lembaga yang menjaga tataetika bertindak sebaliknya.

Mungkin disebabkan terpaksa, lembaga disiplin membuat keputusan 'bersalah' tetapi demi menjaga kepentingan individu tertentu dilembutkan hukuman dengan amaran keras.
Inikah yang dinamankan hukuman.

Tindakan yang dibuat oleh lembaga bukan hantu yang berwarna hitam ini memang baik dan murni, saya amat-amat menyokongnya demi memastikan UMNO bersih dan cergas sepenuhnya tetapi malang ada pertindihan dalam hukuman.

Apa saja alasan yang diberikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin tidak memberikan sebarang erti, malah ramai yang melihatnya sebagai amat jelek.

Tidak ada sebarang sebab untuk melepaskan sesiapa sahaja yang bersalah, kalau kesalahannya berilah hukuman yang ringan tetapi jangan dibiarkan begitu sahaja dan membebaskannya untuk melakukan kesalahan yang besar.

Kenapa harus badut membiarkan harimau dan ahli sarkas lain beraksi yang begitu lama sedangkan ramai yang mahu melihat badut terus mengawal sarkas tersebut.

Jadi, saya sebagai pemerhati kecil dari akar umbi menyeru kepada semua para perwakilan supaya berfikir semasak-masaknya sebelum memilih pemimpin pada persidangan nanti dan menolak sesiapa saja yang pernah disiasat oleh Lembaga Disiplin atau pihak berkuasa yang lain.

UMNO memerlukan pemimpin yang bersih supaya ia dapat menarik kembali sokongan rakyat kerana pada masa kini persepsi rakyat amat teruk. Kita tidak boleh lari daripada politik persepsi, jadi keputusan yang terbaik ialah menolak semua pemimpin yang memiliki persepsi buruk. Jangan biarkan badut berada dalam parti kita.


Buktikan Alif Mim Nun Wau bukan lagi SARKAS.

*Soalnya perlukah kita menerima Ali Rustam, Khairy, Norza, Azalina dan Khir (walaupun tak bersalah? tepuk dada tanya selera.
Thanks to maklukeman (http://manlukeman.wordpress.com) for the idea.

Wednesday, March 18, 2009

Lembaga yang adil


Hari ini, semua akhbar memaparkan kisah calon Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ali Rustam tidak dibenarkan bertanding oleh Lembaga Disiplin.

Selain Tok Ali, ramai juga yang kena tindakan oleh 'lembaga' yang bukan hantu ini. Bagus ini satu tindakan yang baik untuk membersihkan UMNO dari rasuah dan politik wang.

Pun begitu ada yang tidak kena. Aku tertanya-tanya adakah mahkamah di dunia kalau tertuduh didapati bersalah tetapi tidak dikenakan hukuman. Pelik bukan???? Kalau bersalah kena hukum, itu adat dunia. Tetapi dalam UMNO bersalah tak apa, sebab ada hukuman diberi amaran.... hahahaha lawak....

Peliknya juga, orang yang terang-terang hadapi tuduhan rasuah di mahkamah boleh bebas tidak ada tindakan.

Apa pun alasan rakyat semakin jelek dan ketawa dengan tindakan bapa-bapa pemimpin kita, UMNO oh UMNO, bila mau berubah.

Alasan Lembaga Disiplin

*Dipetik dari Utusan Malaysia

Ahmad Ritahuddeen berkata, walaupun Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO telah diberi peluang memberikan penjelasan dalam soal siasat yang dijalankan, Lembaga Disiplin tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Beliau menjelaskan, Mohd. Ali hanya dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan tetapi keahliannya tidak digantung.

Ditanya kenapa hukuman yang tidak sama dikenakan ke atas Khairy walaupun didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1, beliau berkata, hukuman tidak semestinya sama kerana tahap kesalahan yang berbeza.

Perbezaan itu juga katanya, adalah kerana pembuktian yang lemah terhadap restu calon kepada ejennya.

‘‘Hubungan ejen dengan Khairy juga tidak begitu jelas, bagaimanapun untuk melepaskannya begitu sahaja tidak boleh kerana terdapat sedikit bukti melibatkan beliau dengan kesalahan berkenaan,’’ ujarnya.

Ditanya aduan politik wang terhadap Ahli MT UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah, Ahmad Rithauddeen enggan mengulas kerana ia belum diputuskan oleh pihak berkenaan.

Mengenai calon-calon MT yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jelasnya, ia adalah perkara yang berasingan.

‘‘Asas kita adalah Tataetika Ahli UMNO sahaja. Kalau SPRM ia libatkan kesalahan jenayah. Jika kesalahan jenayah berlaku, ia tugas polis untuk siasat dan tentukan ada kes atau tidak, jika ada teruskan dengan pendakwaan,’’ ujarnya.



*Adilkah lembaga 'yang bukan hantu ini'
Sebagai ahli UMNO aku malu dengan keputusan ini.
Jangan kita menipu rakyat.

Disebalik Nik Nur Madihah



Aku percaya banyak cerita mengenai Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, pelajar terbaik SPM 2008 ditulis oleh blogger selepas kejayaan dan penderitaan hidupnya didedahkan oleh Utusan Malaysia.

Pun begitu aku rasa masih ada banyak yang tertinggal mengenai anak gadis luar biasa ini walaupun sebahagian besar kehidupannya telah aku ceritakan dalam dua laporan muka depan Utusan Malaysia pada 14 dan 15 Mac lalu.

Selepas cerita mengenai Madihah mula tersebar mula kedengaran cerita-cerita yang tidak sedap didengar (bagi wanita je, lelaki suke) di sebalik kehidupan keluarganya membabitkan bapanya.

Tak perlu aku ceritakan di sini cuma apa yang penting tugas aku untuk menunjukkan kemiskinan tidak akan menghalangnya untuk berjaya malah lebih baik dari orang lain dapat disampaikan kepada khalayak sebagai iktibar.

Beberapa perkara yang masih tidak diketahui umum:

1. Dalam zaman serba canggih ini, Madihah tidak pernah keluar daripada Kelantan tetapi mengetahui tentang semua tempat disebabkan selalu melayari internet.

2. Disebabkan tidak ada duit, dia hanya melayari internet di perpustakaan awam dan membaca buku atau novel kegemarannya di situ.

3. Ibu bapanya mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi, walaupun susah dan kadang-kadang terlepas makan kedua ibu bapanya mengumpul duit sedikit demi sedikit untuk membeli komputer bagi mendedahkan anak-anaknya tentang IT.

4. Adiknya yang ketiga merupakan pelajar tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi. Yang kedua belajar di Sekolah Menengah Teknik Bachok dan bekas pelajar MRSM Kota Putra. Kira cerdik-cerdik belaka.

5. Biar pun susah bagaimana sekali pun Madihah tidak pernah meminta-minta dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa malah menjadikannya sebagai satu cabaran.

6. Madihah seorang pendiam dan agak pemalu, puas untuk aku mengorek rahsia ketika wawancara itu dibuat, sepanjang tempoh itu Madihah cuba menyembunyikan kesusahannya sehingga ada beberapa jawapan terpaksa aku kutip daripada ibu dan gurunya.

7. Madihah kata keputusan percubaan SPMnya teruk, 14 A dan 5 B. Teruk sangatlah tu...

8. Rumah Madihah memang sempit, hanya selesa untuk 4 orang sahaja tetapi satu yang pelik walaupun di luar sangat panas tetapi dalam rumah tidak terasa sangat walaupun bersesak dan beratap zink. Diakui oleh wartawan Kosmo, Bob.

9. Ada sebuah universiti tempatan menawarkan tempat untuk Madihah, bukan untuk peringkat sarjana muda tetapi PhD. Fuyoooo....

10. Utusan Malaysia hampir terlepas cerita Madihah ini, tetapi nasib baik ada kawan lain yang terbocor secara tak sengaja... huhuhu thanks for the info.

Cerita Nur Madihah membuktikan tidak kira siapa, anak nelayan, anak penoreh, anak petani, anak peguam, anak doktor dan anak menteri semuanya boleh berjaya. Yang penting ialah berusaha dan belajar tanpa mengenal erti jemu.

Kadang-kadang rumah yang kecil boleh memberi ruang yang lebih luas dalam fikiran kita.

* Ondscene terima kasih atas komen tuan. Aku tak dapat masukkan entry ini lebih awal sebab terlalu sibuk - anak masuk hospital tiga hari bermula sabtu sehingga isnin.
pix by hafiz johari and zulhanifa sidek - own by utusan

Wednesday, February 25, 2009

Kain buruk yang memualkan

Sejak sekian lama, UMNO mengalami masalah yang sama iaitu tidak pernah memberikan layanan yang terbaik kepada ahli-ahlinya. Lebih mengecewakan ialah 'juak-juak' dalam parti ini memberikan layanan dan tumpuan istimewa hanya kepada pemimpin yang berada di atas pada ketika itu sahaja.

Malah sekiranya pemimpin-pemimpin parti terbabit bersara secara sukarela atau dipaksa, mereka akan hanya menjadia kain buruk dan biarkan terperosok dalam keadaan busuk dan memualkan. Seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr. Mahathir dan Tun Ghafar Baba (tidak terlalu teruk kerana ada pemimpin yang masih bersimpati).

Ini semua dikatakan berpunca daripada cara berpolitik yang berasaskan penaung seperti yang dikatakan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir, pemimpin di atas dijulang, pemimpin di bawah pijak. Peraka ini tidak pernah dipelajari oleh UMNO walaupun beberapa kejadian yang merugikan parti berlaku.

UMNO juga dilihat tidak seolah-olah tidak memberikan ruang kepada golongan tertentu seperti budayawan untuk bersama-sama mereka dalam perjuangan. Ini amat menyedihkan dan semakin lama ia menjadi seperti wabak apabila seorang demi seorang mula mengangkat kaki meninggal parti keramat itu.

Tidak keterlaluan juga, ia berlaku disebabkan ada 'juak-juak' dalam parti itu yang hanya menjadi parasit yang mengikis dan merosakkan parti demi kepentingan temolok mereka sahaja. Juak-juak ini perlu dihapuskan segera supaya tokoh-tokoh besar tidak lari meninggalkan parti terkontang kanting.

Mungkin ada yang menyatakan atas rasa kecewa tokoh-tokoh ini meninggalkan parti dan mula mencerca UMNO tetapi pada masa yang sama pernahkah kita berjaya adakah kita memberi layanan yang sesuai kepada mereka.

Terbaru, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mula memisahkan diri daripada kerajaan kerana beliau tidak pernah diberikan layanan yang sesuai dengan tarafnya dan tuntutannya tidak pernah diambil peduli.

Beliau kini semakin leka di atas pentas Pas untuk berceramah bagi memperjuangkan Bahasa Melayu dan mungkin satu hari nanti beliau juga akan berada di pentas yang sama berbicara tentang isu-isu lain pula.

"Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan, contohnya, rasuah RM200 ditangkap macamana dengan rasuah berjuta," katanya.

UMNO perlu membuang jauh budaya politik berasaskan penaung dan budaya elit supaya ia rakyat tidak takut untuk menyertainya.

Sesuatu yang amat merugikan sekiranya tokoh-tokoh ini mula bercakap mengenai kebobrokkan parti yang menjadi tunjang umat Melayu itu. Perlu diingat rakyat menilai semua perkara ini dan melihat parti ini sebagai sesuatu yang menjijikkan.

Apa salahnya jika kita memberi layanan yang bersesuaian kepada tokoh-tokoh ini, biarpun terpaksa mengorbankan sedikit ego tetapi secara tidak langsung kita memberikan penghargaan yang sebaiknya kepada mereka.

Jika dibiarkan perkara ini berlarutan, amat dibimbangi UMNO akan menjadi satu parti yang akan hanya berada dalam lipatan sejarah. Jangan kita menjadikan mereka menjadi kain buruk yang busuk dan memualkan. Sehingga ada pihak lain yang mengutip dan membersihkan mereka.

Monday, February 23, 2009

Blog hina Malaysia....




Sewaktu aku mengunjungi Jakarta pada tahun lepas, aku terbaca muka depan akhbar kompas yang bertajuk 'pakcik jangan curi angklong kami'. Akhbar itu dengan jelas meniupkan semangat bencikan Malaysia. Kata akhbar itu, Malaysia cuba untuk mendapatkan pengiktirafan uniseco untuk mewartakan angklong sebagai warisan negara ini.

Aku pelik apa motifnya untuk membangkitkan rasa benci rakyat Indonesia kepada Malaysia, sedangkan rakyat di negara ini tidak pernah ambil pusing tentang angklong atau pun lagu rasa sayang (satu ketika menjadi perdebatan hangat).

Bagi rakyat negara ini, Indonesia adalah suadara serumpun dan seagama tidak terlintas sedikit pun untuk membenci keseluruhan rakyat negara itu.

Ada yang mengatakan rasa benci dan tidak puas hati ini dicetuskan oleh pihak ketiga yang bimbang sekiranya Malaysia dan Indonesia menjadi akrab dan membentuk satu pakatan yang utuh di rantau ini. Pihak ketiga itu dikatakan sebuah negara kecil yang terhimpit di tengah-tengah rumpun Melayu.

Dikatakan ini cara terbaik untuk menghancurkan perpaduan yang diantara kedua-dua negara ini, Indonesia ibarat abang besar kepada Malaysia, pun begitu sebagai adik, Malaysia tidak semestinya kurang cerdik ataupun lebih miskin daripada abangnya.

Rakyat Indonesia perlu menerima hakikat Malaysia sudah berada beberapa langkah di hadapan mereka dan tidak salah sekiranya mereka belajar dari adik yang kecil ini.

Entry ini ditulis sebagai respon kepada paparan dari blog .http://mazidulakmal.blogspot.com dan http://manlukeman.wordpress.com yang mendedahkan mengenai satu blog, http://id-top.blogspot.com indonesia yang menghentam Malaysia secara membabi buta.

*malas aku nak komen banyak, korang baca la blog itu sendiri..

Wednesday, February 18, 2009

Gambar bogel Elizabeth Wong - ADUN Bukit Telanjang


Sejak semalam sehingga lewat petang ini, pejabat aku kecoh, semuanya atas satu sebab - mencari gambar panas cik Eli - exco selangor. Tidak kira lelaki atau perempuan (terutama lelaki) semua kecoh nak tengok gambar bogel tu, bukan apa nak tahu setakat mana panasnye tetapi malang sehingga sekarang semuanya hampa belaka biarpun sudah ramai termasuk orang yang paling pakar it dalam pejabat ini pun gagal.

Ada yang berusaha dapatkannya dari sumber termasuk dari abang-abang sb dan mio tetapi hampa belaka. Seorang kawan kata dia bersemangat untuk tengok gambar ini selepas mendengar ayat yang dibacakan oleh pembaca berita di tv, ayatnya begini, 'gambar separuh bogel elizabeth ketika tidur dengan kain terselak'.

Aku tidak nafikan memang kepingin sangat nak tengok gambar tu tetapi nak buat macamana tak ada sumber punbegitu aku bersyukur sebab kalau ada aku tengok dan dapat dosa kering saja, hahahaha..

Nasihat aku untuk kawan-kawan lain hentilah cari gambar ini, tak de maknanya dapat dosa kering adalah. Kalau terus berusaha nak tengok juga ini bermakna kita pun sama juga dengan elizabeth yang tidak bermoral itu.

Kita jangan jadi sama dengan dia, dua kali lima. Biarpun cik Eli kata kehidupan provasinya telah diceroboh tetapi isu utama tetap dia seorang pemimpin yang tidak bermoral. Dunia sekarang gelakkan kita ramai sangat pemimpin suka telanjang huhuhuhu...

*aku bagi gambar di atas, kalau kemaruk sangat nak tengok, korang pejam mata fikirlah sendiri... muahahaha

Monday, February 16, 2009

Aku orang kerajaan.

Ada seorang rakan bertanya kepada aku, kau siapa dalam politik, sudah berapa lama dalam politik untuk buat analisis. Aku tidak hairan jika kawan aku bertanya soalan itu dan aku pun tidak mahu tahu apa niatnya, mahu menghina atau pun cemburu.

Ini jawapan aku untuk dua soalan itu. Aku orang kerajaan dan menjadi kewajipan aku untuk membalas jasa serta menceritakan perkara benar. Sebab apa aku menjadi orang kerajaan, ini ceritanya:

Cerita emak kepada aku

Ketika aku dalam kandungan, emak aku mendapatkan rawatan daripada bidan yang diiktiraf di klinik desa kerajaan.

Selepas cukup sembilan bulan 10 hari, aku dilahirkan di hospital kerajaan.

Ketika bulan pertama aku melihat dunia, bidan kerajaan sentiasa mengadakan lawatan berkala ke rumah keluargaku hanya untuk memantau kalau- kalau aku demam kuning atau emak masih belum pulih sepenuhnya.

Beberapa bulan selepas itu aku mula menerima pelbagai suntikan seperti cegah polio dan sebagainya, di klinik desa kerajaan juga dengan bantuan bidan kerajaan sehingga beberapa tahun berikutnya.

Bila usia cecah lima tahun, ayah menghantar aku ke tabika Kemas untuk menerima ilmu formal yang pertama supaya besar nanti jadi orang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Di sini aku mula kenal abc dan alif ba ta.

Cerita ayah kepada aku

Ketika berusia tujuh tahun aku dihantar ke sekolah kebangsaan lanjutan daripada tabika Kemas.

Masa di sekolah akan mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan dan program susu sekolah untuk membantu pembesaran aku supaya mudah menerima pelajaran serta otak sama besar dan pandai macam orang lain.

Masa di sekolah aku dapat skim buku teks percuma, mana mampu ayah aku untuk membeli buku - mahal katanya. Cuma ketika itu kerajaan belum buat lagi baucar tuisyen seperti sekarang - lagi untung budak-budak sekarang.

Selepas itu, aku lanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah juga sekolah kerajaan. Dengan bantuan dan sokongan oleh mak, ayah serta kerajaan alhamdulillah aku dapat gred 1 dalam SPM.

Aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara, Allhamdulillah di sini kerajaan pun tolong, bayar yuran cuma RM450 untuk semester termasuk makan tiga kali sehari dan penginapan percuma.

Cerita aku

Selepas tamat UiTM aku mendapat tawaran kerja di Utusan Malaysia yang juga milik UMNO - tak langsung kerajaan juga.

Isteri aku bekerja di Institut Latihan Perindustrian di bawah kerajaan juga.

Anak aku lahir di Hospital Seremban - kerajaan juga - bayar cuma berapa ringgit saja.

Inilah cerita aku kenapa jadi orang kerajaan. Terlalu banyak jasa kerajaan kepada aku. Sudah sampai masanya aku membalas jasa kerajaan. Biar pun ada orang kata pemimpin sekarang menyelewang tetapi nikmat yang aku peroleh terlalu banyak tidak terkira. Ini hanya sedikit jasa kerajaan yang aku ingat, masih terlalu banyak yang diberikan kepada aku sehingga tidak terkira. Jadi mengapa harus aku meracun orang yang pernah berjasa kepada aku.


*Pisang emas di bawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi di bawa mati

Sunday, February 15, 2009

Bapa Siti Nurhaliza meninggal dunia...


Bapa Siti Nurhaliza Taruddin, Taruddin Ismail meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini pada pukul 10.45 pagi ini (Ahad 15 Feb 2009) akibat serangan jantung. Beliau berusia 67 tahun.

Bekas pesara polis itu dimasukkan ke hospital tersebut sejak tiga hari lalu selepas rebah di kediamannya di Kuala Lipis.

Allahyarham dikatakan menjalani pembedahan 'bypass' jantung pada Jumaat lalu.

Aku percaya pemergian Allahyarham akan memberikan kesan yang mendalam kepada Siti Nurhaliza dan keluarganya. Menjadi seorang bapa kepada selebriti terkenal mempunyai dugaan yang besar kerana sepanjang hidupnya turut menjadi tumpuan umum terutama ketika isu perkahwinan Siti dengan Datuk K.

Alhamudillah beliau dapat menempuhi cabaran itu dengan tenang.


*Al fatihah untuk arwah semoga dicucuri rahmat.
takziah untuk siti dan keluarga...

Saturday, February 14, 2009

Tikus bogel


Hampir seminggu aku tidak membuat sebarang posting disebabkan kesuntukkan masa dan selesema yang kembali menyerang.

Entry kali ini lebih ringan dan aku nak bercerita mengenai 'tikus bogel'. Tikus bogel ini aku temui semasa interbiu seorang doktor HUSM yang menjalankan kajian untuk penyakit barah otak dan cerita kajiannya telah keluar dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tikus ini sebenarnya menjadi bogel disebabkan semua antibodinya dikeluarkan sehingga menggangu pertumubuhan hormon, paling mudah sebab itu ia jadi bogel dan tidak ada bulu.

Ia digunakan hanya untuk tujuan uji kaji sains seperti perubatan. Tikus ini juga dipanggil tikus termutasi. Untuk makluman rakan-rakan tikus ini berharga lebih RM2,000 dan kebanyakannya dieksport dari Australia. Bagaimanapun penjagaannya amat rumit dan ia tidak boleh terdedah kepada persekitaraan biasa kerana bimbang dijangkiti penyakit.

Geli juga aku tengok tikus ini tetapi haiwan ini mungkin tidak ada penemuan sains terutama untuk mencari ubat merawat penyakit merbahaya. Di HUSM tikus ini disuntik dengan sel barah otak dan dibiarkan ia berkembang sebelum disuntik virus sampar ayam tempatan.

Uji kaji itu dibuat bagi mengetahui potensi virus sampar ayam yang dikatakan mampu untuk melawan sel barah otak. Tetapi ia masih diperingkat permulaan masih jauh lagi untuk mengetahui keberkesanannya.

*Teringat kata mak saudara aku telan anak tikus boleh jadi ubat asma.
Potensi untuk dijadikan bisnes, bayangkan seekor RM2,000 lebih kurang sama harga seekor lembu.... hehehehe

Monday, February 9, 2009

Hampir pasti pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau...

Belum reda di Perak, kini kekusutuan melanda Kedah pula. Ia ekoran daripada peletakkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam sebagai Exco kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.

Semuanya bermula daripada isu moral melibatkan exco terbabit yang dikatakan menyimpan perempuan simpanan.

Tapi menurut sumber terdekat, kepimpinan tertinggi Pas sedang bermesyuarat untuk meminta Arumugam meletakkan jawatan sebagai ADUN bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

Kata sumber itu yang juga salah seorang jawatankuasa Pas pusat dan Exco di Kelantan, kekosongan kerusi tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan seorang wakil dari India dilantik dalam ahli MMK.

Bagi mereka suara India amat penting dalam MMK bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan suara dari kaum yang sentiasa menuntut itu tanpa puas itu kedengaran.

Sekiranya ia benar terjadi, ini merupakan peluang terbaik untuk menambah koleksi kerusi di DUN Kedah. BN perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk merampas kerusi DUN Bukit Selambau.

*dah letih dengan kekalutan...

Sunday, February 8, 2009

Nota ringkas untuk Anwar Ibrahim

Hahaha PADAN MUKA dah terkena....

Daulat Tuanku


Sejak pilihan raya umum lalu, banyak perkara yang tidak diketahui umum dalam undang-undang dan perlembagaan semakin jelas kelihatan. Pelbagai peruntukkan undang-undang yang tidak diketahui terutama membabitkan fungsi raja-raja Melayu mula diketahui umum.

Tanggapan khalayak sebelum pilihan raya umum bahawa raja hanya sebagai lambang pemerintahan tidak boleh diguna pakai sama sekali pada masa kini. Raja-raja Melayu sebenarnya memiliki fungsi yang tersendiri - memang benar baginda Sultan adalah pelindung kepada rakyat di negara ini.

Perkara pertama yang timbul selepas pilihan raya umum lalu, isu pelantikan Menteri Besar di dua buah negeri, Perlis dan Terengganu. Mutakhir ini isu pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

Isu ini membuka mata pelbagai pihak bagaimanapun raja-raja Melayu mempunyai kuasa dan peruntukkan undang-undang yang besar dalam melindungi hak rakyat mereka.

Ketiga-tiga perkara tersebut memperlihatkan kepada rakyat bahawa baginda Tuanku ambil peduli dan amat prihatin dengan keadaan rakyatnya walaupun pada masa kini mereka tidak menjalankan tugas-tugas eksekutif.

Dalam entry pertama blog ini, saya pernah menjelaskan mengenai kuasa Yang Dipertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri dan perkara yang sama juga terkmaktub dalam kebanyakan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Menurut Bab 3 Fasal 40 (2) Perlembagaan Persekutuan Yang Dipertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri
(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen
(c) meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaandan kebesaran Raja-Raja Melayu dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Rakyat harus yakin dan percaya tindakan yang diambil oleh baginda sultan di Terengganu, Perlis dan Perak ini adalah untuk kebaikan rakyatnya. Raja mana yang mahu melihat rakyatnya berada dalam keadaan yang kucar-kacir.

Saya amat yakin dan percaya keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah amat tepat bagi mengelakkan berlaku lebih banyak keadaan yang memudaratkan rakyatnya terutama dalam menjaga hal kebajikan umat Melayu di negeri itu.

Nada-nada kesal, kecewa dan marah institusi di raja Perak itu mula kedengaran sejak mula kerajaan pakatan pembangkang memerintah negeri itu. Contoh yang paling tepat ialah pemberiaan hak milik tanah kekal selama 999 tahun kepada penduduk kampung baru sedangkan rakyat Melayu yang juga pribumi negeri itu tidak mendapat keistimewaan yang sama.

Pertimbangan yang dibuat oleh baginda Sultan Azlan Shah dengan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat dengan teliti dan berasaskan undang-undang.

Sebagai rakyat biasa kita tidak seharusnya mempertikaikan keputusan tersebut, baginda bukan calang-calang sultan dan bukannya sultan yang tidak berpendidikan malah bekas Ketua Hakim Negara.

Kredibiliti yang dimilik oleh Tuanku sebagai pemimpin memang tiada tolak bandingnya malah tidak keterlaluan dikatakan baginda adalah di antara raja yang paing bijak di dunia - begitunya juga anakanda baginda, Raja Nazrin Shah.

Saya percaya tahap pendidikan yang dimiliki oleh baginda Sultan dan bakal penggantinya tiada tolok bandingnya. Di Britain sekali pun tidak ada raja atau permaisurinya yang memiliki ijazah doktor falsafah. Jadi mengapa kita rakyat biasa mahu mempertikaikan kebolehannya.

Justeru itu, tindakan kurang ajar pemimpin parti pembangkang terutama Karpal Singh harus diajar. Seperti kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina, jika tidak bersetuju dengan Sultan sila keluar dari negara ini.

Manusia yang tidak pernah kenal erti membalas budi ini harus dikecam dan dibuang terus daripada kehidupan rakyat negara ini kerana ia akan membawa kehancuran kepada tamadun Malaysia yang harmoni aman damai.


*Junjung kasih tuanku
Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Thursday, February 5, 2009

Tahniah Dr. Zambry - MB Perak baru


Tahniah kepada Dr. Zambry Kadir kerana dipilih sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11.
Aku yakin dia mampu untuk membawa dan menerajui kempimpinan negeri Perak. Suntikan pemimpin muda seperti beliau amat diperlukan oleh UMNO dan Barisan Nasional pada masa kini.

Tetapi aku masih pening dengan keadaan politik di Perak...

Posting lanjut mengenai Dr. Zambry akan disusuli kemudian...

Cukuplah Datuk Seri Mohammad Nizar....

Lepas 10 bulan memerintah Perak banyak perkara yang diperolehi Datuk Seri Mohamad Nizar dan aku percaya ada diantaranya tidak pernah diimpikannya langsung.
Di bawah aku gariskan beberapa perkara yang diperoleh Mohamad Nizar.

1) Dia pasti tidak percaya secara tiba-tiba menjadi Menteri Besar Perak.
2) Daripada bergelar encik atau tuan haji sekarang sudah Datuk Seri.
3) Dapat merasa kereta Toyota Camry baru (tapi sayang hanya 10 bulan)
4) Memberikan tanah kepada penduduk kampung baru.
5) Tercatat dalam sejarah sebagai Menteri Besar Perak ke- 10 walaupun hanya 10 bulan.
6) Merasa kerusi empuk di pejabat Menteri Besar.
7) Bergembira menghancurkan umat Melayu.
8) Mendapat layanan bertaraf lima bintang.
9) Menikmati elaun yang banyak.
10) Tak payah keluar duit minyak kalau berjalan-jalan masuk kampung termasuk nak pergi kerja..
11) Berkuasa untuk tentukan segala-galanya

Ini semua benda-benda bodoh yang aku terfikir tadi. Aku percaya pada pagi 8 Mac 2008 semasa bangun tidur dia tidak pernah bermimpi untuk mendapat semua keistimewaan ini. Jadi sudah sampai masanya untuk bangun dari mimpi itu dan kembali kepada dunia realiti... Berehatlah selepas berbulan madu.... jangan hancurkan lagi negeri Perak.... cukuplah

*apsal aku tak dapat mimpi yang sama....

Perak - majal no. 10

Dalam bola sepak, jika pemain memakai jersi no.10 pasti dia seorang pemain bintang atau paling merbahaya. Lazimnya jersi no.10 dipakai penyerang atau pemain tengah seperti lagenda bola sepak, Maradona, Mokhtar Dahari, Roberto Bagio, Rivaldo dan pemain kegemaranku Wayne Rooney.

Bagaimanapun disebalik tuah pemain hebat bernombor 10 ini, ia mendatangkan nasib malang kepada ahli politik dari Pakatan Pembangkang di Perak terutama bagi Menteri Besarnya (masih MB lagi ke?).

Ini cerita mengenai no. 10 yang membawa malang kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin... dipetik dari Mstar:

PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kembali semula ke pangkuan Umno semalam setelah 10 hari menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam tempoh 10 hari berkenaan senario politik di Perak berubah dengan Barisan Nasional (BN) kini mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Angka 10 itu cuma sebahagian daripada beberapa detik yang dikaitkan dengan perkembangan senario di Perak pada hari ini.

Kereta rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin juga membawa plat pendaftaran AGS 10, yang digunakan sekarang termasuk ketika pergi ke Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak semalam.

Mohamad Nizar merupakan Menteri Besar yang ke-10 bagi Perak.

Beliau menjadi pemimpin kerajaan negeri menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali selepas Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Pilihan raya umum Mac lalu merupakan pilihan raya umum ke-10 selepas terbentuknya Barisan Nasional (BN) dan berubahnya senario politik negara ekoran peristiwa 13 Mei.

BN dibentuk bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak komponen termasuk Parti Progresif Penduduk (PPP) yang merupakan antara parti terkuat di Perak ketika itu.

Umumnya, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat kini hanya berusia 10 bulan dan 27 hari.


*hehehe nak percaya jangan... tapi menarik...

Friday, January 23, 2009

Babi!







Aku menerima gambar-gambar di atas dari e-mail yang dikirimkan oleh seorang sahabat. Katanya, kejadian meletakkan meletakkan kepala babi dan conteng dinding ini berlaku di suarau Universiti Malaya.

Aku tidak mahu berdebat mengenai kesahihan gambar ini atau pun mengusul lebih lanjut tentang asal usul serta kejadian ini.

Aku mengambilnya sebagai iktibar, inilah yang akan berlaku sekiranya kita lemah, perpaduan di antara umat Melayu Islam tidak kuat di negara ini. Orang lain akan memandang rendah dan menghina agama suci yang dianuti kita.

Bukan niat aku untuk meniup api perkauman tetapi inilah contoh terbaik sekiranya kita umat Islam tidak bersatu dan kerajaan yang ada hari ini lemah.


*pengajaran paling berguna

Israel serang Iran....

Perang di Gaza muslihat Israel serang Iran

SETELAH menyerang Genting Gaza dan mengakibatkan lebih 1,300 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 4,500 yang lain cedera, apa pula tipu muslihat rejim Zionis Israel selepas ini?

Operasi ketenteraan Israel di Genting Gaza itu sebenarnya bersifat strategi serampang dua mata. Pertama, untuk menghukum Hamas kerana terus melancarkan roket buatan sendiri ke wilayahnya. Kedua, untuk memastikan tenteranya bersiap sedia untuk melakukan misi yang lebih utama iaitu menyerang Iran.

Operasi ketenteraan di Genting Gaza merupakan latihan sebenar untuk tenteranya setelah mereka selesai menjalankan latihan besar-besaran dua bulan sebelum itu bagi misi menyerang Iran.

Israel sememangnya tidak berpuas hati selagi program nuklear Iran yang dimulakan sejak 2002 tidak dihapuskan. Rejim itu tidak mahu Iran membayangi kedudukannya sebagai gergasi ketenteraan di rantau Asia Barat.

Setelah rejim Saddam Hussein tumbang, Israel merasakan Iran bukan sahaja mampu menggugat kedudukannya itu tetapi mengancam keselamatannya.

Selain itu, Israel tidak begitu senang dengan kenyataan-kenyataan keras Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad terhadap negara itu.

Ahmadinejad pertama kali mengeluarkan kenyataan keras ialah lima bulan selepas menjadi Presiden Iran pada akhir Oktober 2005 agar Israel dihapuskan.

Kini timbul persoalan apakah rejim itu bersungguh-sungguh untuk menyerang Iran atau semata-mata mahu menggertaknya. Jika dilihat kepada pendirian Israel sejak 1948, rejim itu tidak pernah bergurau tentang segala tindakannya terutama apabila kepentingan, kedudukan dan keselamatannya terancam.

Israel juga tidak pernah mempunyai pertimbangan politik, diplomasi mahupun perikemanusiaan.

Daripada persiapan yang sedang dilakukan oleh Israel termasuk mengadakan kempen latihan tentera besar-besaran di selatan Mediterranean dan Greece, Israel bukan bergurau dalam hal itu.

Pegawai kanan AS mengesahkan Israel mengadakan latihan tentera besar-besaran melibatkan lebih 100 pesawat pejuang F-16 dan F-15 sejak minggu pertama bulan ini sebagai persiapan menyerang Iran. Persoalannya apakah Iran sedar permainan Israel ini?

*hancurkah bumi Islam di Arab nanti?


Thursday, January 22, 2009

Menteri Pelajaran Wanita???






Pagi tadi, seorang teman lama secara tiba-tiba menghubungi aku. Teman lama aku ini amat dikenali dengan sikapnya yang suka berdebat terutama membabitkan isu politik.

Aku agak terkejut soalan pertama yang dibangkitkan kepada aku, adakah setuju sekiranya wanita diberikan tugas sebagai Menteri Pelajaran. (Terus terang aku tidak tahu apa motifnya, bila ditanya saja - mahukan pendapat, ada misi sikit).
Aku menjawab - aku tidak setuju.

Ditanya kenapa?

Jawab aku, tugas sebagai Menteri Pelajaran sangat besar dan memerlukan seorang yang komited dan berwibawa kerana ia akan mencorakkan masa depan negara, lebih sesuai lelaki sebabnya lelaki lebih terbuka dan ajaran Islam mahukan lelaki menjadi ketua.

Ditanya, ramai guru dan pelajar wanita, jadi wanita lebih memahami wanita dan bukankah lebih mudah merancang serta bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan keluarga? Jawab aku, memang benar tetapi wanita lebih sesuai sebagai pembantu dan biarkan lelaki merancang untuk dasar yang lebih sesuai kerana lelaki tidak beremosi ketika melaksanakan tugas.

Ditanya Menteri Pelancongan boleh wanita?.
Jawab aku, pelancongan tidak begitu penting seperti pelajaran. Secara tradisinya Menteri Pelajaran akan menjadi Perdana Menteri. Adakah kita bersedia untuk ada Perdana Menteri wanita?

Teman lama aku akui benar hujah tersebut.... perdebatan aku terhenti begitu sahaja....
Katanya, nanti aku hubungi kau balik. Kalau boleh minta pendapat dari rakan yang lain sama.
Aku yang bingung dan tidak faham memberikan salam dan menamatkan perbualan.
Sehingga kini aku masih terfikir apa rasionalnya....
Dan aku membuka ruangan ini kepada rakan-rakan bijaksana untuk membincangkan isu ini....

*Terus bingung...
***gambar hiasan