Saturday, January 30, 2010

Mustapa Pengampu, Utusan Dongeng



Pada minggu ini dua ceramah perdana berlangsung di Kota Bharu tetapi kedua-duanya membawa tema yang sama iaitu royalti petroleum.

Ceramah pertama pada Selasa (26 Jan.) dianjurkan oleh UMNO yang menampilkan tiga penceramah iaitu Datuk Ibrahim Ali sebagai penceramah utama, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Lebih 5,000 hadir pada ceramah yang diadakan di sebuah hotel itu sehingga melimpah ruah. Mungkin ini kali pertama sepanjang aku bertugas di sini ramai yang datang pada ceramah UMNO. Mustapa mengambil tempat penceramah pertama yang turut merasmikan ceramah tersebut. Mustapa jelaskan kenapa Kelantan tidak layak terima royalti sebab kesemua telaga minyak itu berada di luar perairan Kelantan dan pertindihan dengan Thailand.

Kedua, Awang Adek menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Husam, katanya, semua tertakluk di bawah undang-undang termasuk undang-undang laut di bawah konvensyen Geneva.

Penceramah paling utama, Ibrahim membuat konklusi bahawa pertikaian antara royalti dan wang ihsan adalah berkisar tentang masalah perundangan. Jadi beliau mencabar kerajaan negeri membawa ke mahkamah.

Ceramah kedua dianjurkan secara pakej bersama dengan solat hajat yang dianjurkan secara berasingan di antara kerajaan negeri dengan GEGAR dua hari kemudian.

Berbelit bukan satu lokasi dua program dua penganjur katanya untuk elak orang kata Ku Li duduk atas pentas pembangkang jadi digunakan platform NGO, GEGAR biarpun duduk sebaris dengan Nik Aziz dan Husam diatas pentas utama.

Pasti, semua sudah tahu apa yang Ku Li katakan pada malam itu kerana ia diulas oleh semua pihak terutama di media maya ini.

Apa yang ingin aku katakan ialah diakhir sidang akhbar, ketika seorang wartawan menyebut nama Mustapa, Ku Li dengan lantas berkata, "Siapa, jangan sebut nama itu, pengacau saja, tak sedap dengar langsung. Ketua mana ikut cakap orang, kena ada pendirian sendiri.

"Mustapa Pengampu, Utusan (Malaysia) Dongeng."

Soalnya benarkah Mustapa yang pendiam lagi kuat bekerja benar-benar seorang pengampu dan apakah benar akhbar yang turut dimiliki Ku Li itu dongeng. Lucu bukan seorang pemilik saham Utusan tidak percaya kredibiliti asetnya sendiri.

Mari kita lihat siapa yang dongeng siapa yang mengampu. Pada 31 Oktober 2000, Ku Li bercakap dengan pemberita di Lobi Parlimen dan disiarkan secara meluas. Laporan rata-ratanya membawa tajuk yang sama, Terengganu tidak layak terima royalti.

Utusan melaporkan, "Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kekuasaan negeri itu.

"Dari segi, undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak atas minyak ini.".

Berita Harian melaporkan, "Dari undang-undang, ikut pandangan kita pada masa itu, iaiatu semasa Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di semenanjung tidak ada hak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan mereka."

NST melaporkan, " The Exploration areas ara outside teh State's jurisdiction. From the legal point of view - when Petronas established - states in the peninsula have no rights to oil discovered offshore."

Tiga akhbar melaporkan perkara yang sama. Siapa yang dongeng ya?

Thursday, January 28, 2010

Sampai kiamat

Hari ini saya makan tengah hari bersama dengan kira-kira 300 ketua agama dari seluruh negara. Kerajaan negeri yang dikepalai Tok Guru Nik Aziz belanja makan tengah hari itu.

Seperti biasa saya duduk di meja wartawan bersama beberapa rakan lain. Dari meja itu, saya dapat melihat sekelompok berselimpang oren, sekelompok berkulit hitam, sekelompok lagi bermata sepet, sekelompok bersemutar dan kelompok depan bercampur-campur ada bersemutar, ada berjubah tetapi berantai salib dan ada memakai kot.

Saya termenung sebentar apa motif makan tengah hari ini? untuk apa?. Harmoni bukan? adakah harmoni dalam satu dewan tetapi berasing-asing ikut kulit dan pakaian.

Bisik rakan wartawan yang berkali-kali lebih senior dari saya dalam loghat Kedah yang agak cair, "Hang tengok, kata nak harmoni, nak mahabbah tapi duduk suku-suku, lepas makan, dengaq orang cakap sikit balik.

"Baik pi minum di kedai kopi, sama mcm nie juga. Melayu duduk dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India." - Hampir sama dengan apa yang saya fikirkan tadi.

Makan 'tengah hari' tapi makan sebelum pukul 12 tgh kerana hormat sami budah yang tidak makan selepas waktu itu. Lepas majlis sami budha membacakan doa untuk kesejahteraan dan kemakmuran Kelantan.

Bila habis, semua angkat punggung, pusing diluar kurang lebih lima minit itu pun menunggu giliran lift kosong dan terus balik. Soalnya, sampai atau tidak matlamat untuk harmoni dan persahabatan antara agama.

Bukan nak salahkan orang belanja makan tengah hari tadi, tetapi realiti sebenar hubungan antara agama di negara ini adalah sama dengan majlis itu. Tidak jauh bezanya. Masing-masing ada yang terpendam dan memendamkan dan menunggu masa untuk meletus.

Sukar untuk memperbaiki hubungan antara agama dan bangsa di negara ini kerana ikatan yang ada hanya pada kulitnya mungkin senipis kulit bawang. Semua ini berpunca daripada kepentingan politik yang menyebabkan rakyat makin kacau dan dendam makin membara.

Saya teringat kata seorang profesor keturunan Cina yang fasih malah lagi Melayu dari Melayu tentang keadaan ini. Katanya, semua harus menerima perkembangan kelompok meningkut kumpulan, kumpulan-kumpulan ini tidak akan berasimilasi dan pluralisme akan terus berkembang.

Penyelesaian yang diberikan oleh profesor ini hanya satu, betulkan semula sistem pendidikan hapuskan sekolah jenis kebangsaan - baru wujud asimilasi, katanya. Tegah saya, sampai kiamat MCA, DAP, MIC, PKR dan Gerakan tidak akan bersetuju.

Lantas beliau menyambut, sampai kiamat juga kita akan hidup dalam pluralisme yang sedang menunggu masa untuk tumbang.


*bila akan kiamat?

Uniknya Kelantan...

Tepat 1 Mei ini, genap tiga tahun saya bertugas di Kelantan, negeri serambi Mekah yang menjadi kemegahana rakyatnya. Sepanjang hampir tiga tahun banyak penglaman menarik yang saya lalui sebagai seorang pengutip dan pelapor cerita.

Saya selusuri setiap hampir setiap pelosok negeri bermula dari kaki Gunung Stong, Batu Melintang di Jeli, sehingga Kota Bharu. Bergaul dari penarik beca, mak cik pak cik di pasar Siti Khadijah sehingga ke dalam JKR 10, Rumah Ghu dan Istana Kubang Kerian. Pendek kata hampir kesemuanya saya lalui.

Semuanya serba menarik, pengalamannya amat berbeza dari negeri-negeri lain - serba serbi unik yang kadang kala membuatkan kepala pusing. Orangnya hebat - pasti lagi hebat dari negeri-negeri lain, ada yang gedebe, ada yang manis, ada yang pemurah, ada yang baik hati, ada yang tikam dari belakang dan segalanya ada. Senang cerita lain dari negeri-negeri lain.

Satu perkara yang saya pelajari di sini ialah kesetiaan kepada negeri tiada tolak bandingnya, biar apa pun terjadi rakyatnya akan mempertahankan rakyatnya dan negerinya. Kerana itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang digelar atau ada yang mengatakan menggelar dirinya sendiri 'Tok Guru' dapat kekal lama - kerana dia unik, lain dari yang lain.

Sekiranya majoriti kata A, pastinya Nik Aziz kata B dan pastinya juga orang-orang di sini umumnya akan mengikut tanpa banyak takwil. Sikap mempertahankan pemimpin ini sewajarnya diikuti oleh rakyat Malaysia mempertahankan pemimpin tapi jangan sampai membuta tuli.

Entah apa lagi nak diperkatakan tentang Kelantan sebab semuanya unik, sampai penuh kepala dan tidak diluahkan di sini. Cukuplah saya katakan Kelantan unik dari kaki lima sehingga ke Kota Darulnaim, dari Kota Darulnaim sehinggalah ke Istana. Salam.


*untuk hidupkan kembali laman sesawang yang dah bersawang ini... mohon ampun