Monday, October 11, 2010

Tahniah CC Liew

Saya tidak mengenali CC Liew dan dia juga tidak mengenali saya. Dia tokoh wartawan 2009. Semua tahu, tokoh wartawan pertama dari akhbar Cina. Pengetahuan saya mengenai CC Liew amat dangkal. Cuma melalaui satu artikel, tulisan Zam dan teks ucapan beliau.

CC amat hebat, 50 tahun di Sin Chew dan berkhidmat di bawah 6 Perdana Menteri. Dia seorang wartawan sejati yang menjunjung kebebasan media.

"Oleh begitu, apabila sesuatu polisi atau tindakan seseorang, biarkan berkuasa atau tidak, adalah bercanggah dengan matlamat kami ini, kami menganggap ia menjadi tanggungjawab kami untuk menyuarakannya," -petikan ucapan CC.

Soalnya apakah matlamat itu? Bagaimanakah untuk memastikan matlamat itu tidak berpihak sedangkan CC dengan jelas mengatakan bahawa "Sebagai sebuah akhbar, fungsi utama kami adalah berkhidmat kepada pembaca-pembaca." Hanya orang Cina membaca Sin Chew, kalau ada pun Melayu atau Indi boleh dikira dengan jari. Umum tahu bagaimana untuk menarik minat pembaca, harus ikut rentak dan muncul sebagai superhero.

Saya tidak menidakkan CC. Apa yang dikatakannya benar. Cuma soalnya jika desakan pembaca berterusan masih wujudkah kebebasan media. Jawapan CC sudah jelaskan. Jadi jangan salahkan Utusan, semua media di dunia ini berpihak kepada tuannya. Malaysiakini, Malaysiainsider, Harakah, Roket semuanya berpihak. The times, Straits Times Singapore, Herald Tribune pun berpihak juga. Jangan meludah ke langit terkena di muka sendiri.


*Burung terlepas dari sangkar, adakah itu bebas?

Thursday, October 7, 2010

Apa Khabar Tuanku

Aku merasa sangat puas pada malam ini. Persoalan yang sekian lama berada dalam kepala otak ini terjawab hari ini. Soalan itu dapat aku lontarkan pada malam ini.

"Apa khabar Tuanku." Itu sapaan yang terkeluar dari mulut aku ketika berpeluang untuk bertemu dengan Sultan Ismail Petra. Apa yang mengejutkan biarpun duduk di atas kerusi roda dengan keadaan tangan yang masih belum dapat berfungsi dengan baik serta ketika petugas istana sedang sibuk menyorongnya ke dalam Toyota Alphard, baginda dengan pantas terus menjawab sapaan itu, "baik".

Jawapan itu amat mengejutkan, baginda yang dikatakan ramai pihak 'brain dead' dapat memberi respon dengan pantas. Hati aku bergelojak sekali lagi,ingin menguji buat kali kedua. "Lo ni macamana Tuanku." Baginda dengan pantas juga menjawab "Baik, Alhamdulillah." Aku terkelu dan mati kata.

Pada masa yang sama seorang wanita yang sedang mengendong kanak-kanak perempuan berusia sekitar setahun (mungkin kerabat) sempat bergurau dan melambai-lambai. Baginda melihat ke arah wanita dan bayi berkenaan dan memberikan respon sambil ketawa kecil kerana suka dengan keletah mereka berdua.

Biar pun hanya dua soalan dan pertemuan selema seminit tetapi ia memberikan kepuasan untuk aku. Pertemuan di Rumah Ghu, kira-kira pukul 10 malam ini cukup memberikan kesan kepada aku sebagai pengamal media dan rakyat marhain.

Terima kasih kepada Tengku Muhammad Fakhry kerana memberi kesempatan yang amat berharga ini. Terima kasih untuk jemputan BBQ malam ini. Sebenarnya kesempatan ini telah lama dinantikan sejak Tuanku pulang dari Singapura.

Ingin aku tegaskan tulisan ini bukannya untuk menidakkan pemasyhuran Sultan Muhammad V tetapi ia hanya untuk membuktikan kata-kata berapa teman mengenai keadaan Sultan Ismail adalah tepat. Aku juga tidak mempertikaikan sama sekali pemasyhuran Sultan Muhammad V kerana ia semamngnya hak baginda sebagai pewaris mutlak takhta kesultanan Melayu Kelantan - tidak kira bila masanya dimasyhurkan.

*amat terkilan kerana tidak sempat bergambar utk kenangan.

Monday, June 28, 2010

Demam Piala Dunia

Dah lama aku tak jenguk blog ini, mungkin dah bersawang. Sebenarnya ada terlalu banyak yang aku ingin bercerita. Sampai tidak tahu mana satu yang hendak dimulakan.
Baiklah aku mulakan di sini. Pertama demam Piala Dunia. Satu dunia dilanda wabak ini. Aku tidak terkecuali tetapi sokongan aku kali ini kepada Argentina berbeza dengan sebelum ini iaitu Belandam
Piala Dunia kali ini juga datang membawa satu lagi wabak. Wabak 'judi'. Wabak ini hebat. Semua pening, pembawa virus ini ialah Dr. AADH. Sampai kata orang, orang Bachok dah tak dapat terima lagi.
Aku malas nak ulas banyak pasal wabak ini sebab sudah berbondong orang komen. Cukup sekadar aku nak petik resolusi Pemuda Pas pada Muktamar ke 56, Pemuda Pas mendesak supaya kerajaan menarik balik lesen judi bola. Soalnya kenapa tidak desak supaya semua judi dihapuskan. Ketika berbual dengan Ustaz Nasarudin Tantawi, jawapannya "Kita memang mahu supaya semua judi dihapuskan tetapi berperingkat, sekarang kita perlu berikan kefahaman terlebih dahulu.'
Bagi aku ini jawapan yang amat klise, kalau benar Pas ikhlas perjuangkan Islam hapuskan saja 4 nombor ekor di Kedah di sanakan majoritinya Islam kurang lebih sama dengan Kelantan sahaja. Betul kata Tun M Pas tidak pernah ikhlas.

Sesungguhnya aku dah muak dengan politik Pas. Letih amat membosankan, kalau kena atas batang hidung sendiri pandai pusing cerita. Tengok saja isu air di Kelantan, kerajaan anak beranak Nik Aziz, Kohilal,Bazar Tok Guru dan banyak lagi.
Aku dah bosan... Yang penting Argentina menang.

Friday, June 4, 2010

Kelantan juga akan bankrap

Sejak timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala membuat pendedahan yang jujur bahawa negara bankrap jika terus memberikan subsidi maka sepantas halilintar ia dijadikan isu di atas pentas politik. Semuanya menyalahkan kerajaan pusat kerana boros berbelanja dan selewang wang rakyat sehingga terpaksa menanggung beban sebegitu rupa. Seolah-olah ada satu kesepakatan semua pemimpin pembangkang bermula dari bapanya,DSAI sehinggalah ustaz-ustaz Pas yang tidak ada asas ekonomi pun bercakap benda yang sama.

Menjadi pembangkang memang mudah. Isu sedikit diperbesarkan sehingga lupa tiga lagi jari menuding diri sendiri.

Contoh yang paling mudah ialah Kelantan, negeri pembangkang yang paling tua di negara ini. Jika benar pemimpin-pemimpin kreatif lagi bijaksana sudah tentu bajet setiap tahun tidak akan defisit. Jangan salahkan orang terlebih dahulu, buktikan bahawa kita mampu lakukan sebelum bercakap pasal orang lain, mudah kata jaga rumah tangga sendiri dahulu.

Oh ya! Masih ingatkah pada saman syarikat timber mine sdn bhd terhadap kerajaan negeri. Kerajaan negeri kalah. Mahkamah Tinggi Kota Bharu arah bayar RM800 juta. Di sini sekali fakta bukan lagi cuba tapi sudah diputar belitkan, yang salah BN juga pada hal perjanjian yang dibuat pada zaman datuk asri muda itu dicemarkan oleh Pas sendiri selepas BN cuba memperbaikinya ketika mengambil alih Kelantan dari Pas pada tahun 80-an dahulu.

Kes Timber mine vs kerajaan Pas Kelantan ini ada diperingkat Mahkamah Rayuan, kalau ia bersidang lebih awal dengan jumlah beban hutang yang ada, nampaknya Kelantan lebih cepat bankrap dari Malaysia. Tidak perlu menunggu 2019.

Oh ya! Saya hampir terlupa Kelantan tidak boleh bankrap kerana negerinya kaya terutama hasil buminya yakni balak. (Di Kelantan hanya ada hasil bumi BALAK.. Kenapa saya kata begitu, kerana setiap aktiviti hasil bumi melibatkan kawasan balak. Contohnya,dua tahun lalu ada mou utk terekoa lombong emas di Soko, Tanah Merah tapi sampai sekarang tak tahu cerita cuma dengar ada byk balak di bawa keluaar, saya tidak tahu benar atau tidak cuma orang kata).
Jadi inilah masanya untuk pemimpin negeri ini memanggil semua taukeh balak supaya membantu untuk bayar RM800 juta ini. Ustaz Nik Amar mungkin boleh panggil. Datuk Husam mungkin boleh bantu, ekonomis yang paling bijak di negara ini.

Oh ya! Terlupa pula sambil-sambil tu nak tanya apa jadi dengan GMC dengan PMBK.

Oh ya! Bekalan air di Kelantan macamana kerajaan pusat dah bantu tetapi tak selesai juga. Salah kerajaan pusat ke.

Oh ya! Tak apa semua ini salah kerajaan pusat.

Sekadar bertanya bila Kelantan nak bankrapM

Saturday, January 30, 2010

Mustapa Pengampu, Utusan Dongeng



Pada minggu ini dua ceramah perdana berlangsung di Kota Bharu tetapi kedua-duanya membawa tema yang sama iaitu royalti petroleum.

Ceramah pertama pada Selasa (26 Jan.) dianjurkan oleh UMNO yang menampilkan tiga penceramah iaitu Datuk Ibrahim Ali sebagai penceramah utama, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Lebih 5,000 hadir pada ceramah yang diadakan di sebuah hotel itu sehingga melimpah ruah. Mungkin ini kali pertama sepanjang aku bertugas di sini ramai yang datang pada ceramah UMNO. Mustapa mengambil tempat penceramah pertama yang turut merasmikan ceramah tersebut. Mustapa jelaskan kenapa Kelantan tidak layak terima royalti sebab kesemua telaga minyak itu berada di luar perairan Kelantan dan pertindihan dengan Thailand.

Kedua, Awang Adek menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Husam, katanya, semua tertakluk di bawah undang-undang termasuk undang-undang laut di bawah konvensyen Geneva.

Penceramah paling utama, Ibrahim membuat konklusi bahawa pertikaian antara royalti dan wang ihsan adalah berkisar tentang masalah perundangan. Jadi beliau mencabar kerajaan negeri membawa ke mahkamah.

Ceramah kedua dianjurkan secara pakej bersama dengan solat hajat yang dianjurkan secara berasingan di antara kerajaan negeri dengan GEGAR dua hari kemudian.

Berbelit bukan satu lokasi dua program dua penganjur katanya untuk elak orang kata Ku Li duduk atas pentas pembangkang jadi digunakan platform NGO, GEGAR biarpun duduk sebaris dengan Nik Aziz dan Husam diatas pentas utama.

Pasti, semua sudah tahu apa yang Ku Li katakan pada malam itu kerana ia diulas oleh semua pihak terutama di media maya ini.

Apa yang ingin aku katakan ialah diakhir sidang akhbar, ketika seorang wartawan menyebut nama Mustapa, Ku Li dengan lantas berkata, "Siapa, jangan sebut nama itu, pengacau saja, tak sedap dengar langsung. Ketua mana ikut cakap orang, kena ada pendirian sendiri.

"Mustapa Pengampu, Utusan (Malaysia) Dongeng."

Soalnya benarkah Mustapa yang pendiam lagi kuat bekerja benar-benar seorang pengampu dan apakah benar akhbar yang turut dimiliki Ku Li itu dongeng. Lucu bukan seorang pemilik saham Utusan tidak percaya kredibiliti asetnya sendiri.

Mari kita lihat siapa yang dongeng siapa yang mengampu. Pada 31 Oktober 2000, Ku Li bercakap dengan pemberita di Lobi Parlimen dan disiarkan secara meluas. Laporan rata-ratanya membawa tajuk yang sama, Terengganu tidak layak terima royalti.

Utusan melaporkan, "Dulupun, wang ini diberi bukan atas dasar ia adalah hak negeri Terengganu kerana minyak tersebut diperoleh di luar kekuasaan negeri itu.

"Dari segi, undang-undang pula, ikut pandangan kita pada masa itu iaitu semasa Petronas ditubuhkan, memang negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak atas minyak ini.".

Berita Harian melaporkan, "Dari undang-undang, ikut pandangan kita pada masa itu, iaiatu semasa Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di semenanjung tidak ada hak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan mereka."

NST melaporkan, " The Exploration areas ara outside teh State's jurisdiction. From the legal point of view - when Petronas established - states in the peninsula have no rights to oil discovered offshore."

Tiga akhbar melaporkan perkara yang sama. Siapa yang dongeng ya?

Thursday, January 28, 2010

Sampai kiamat

Hari ini saya makan tengah hari bersama dengan kira-kira 300 ketua agama dari seluruh negara. Kerajaan negeri yang dikepalai Tok Guru Nik Aziz belanja makan tengah hari itu.

Seperti biasa saya duduk di meja wartawan bersama beberapa rakan lain. Dari meja itu, saya dapat melihat sekelompok berselimpang oren, sekelompok berkulit hitam, sekelompok lagi bermata sepet, sekelompok bersemutar dan kelompok depan bercampur-campur ada bersemutar, ada berjubah tetapi berantai salib dan ada memakai kot.

Saya termenung sebentar apa motif makan tengah hari ini? untuk apa?. Harmoni bukan? adakah harmoni dalam satu dewan tetapi berasing-asing ikut kulit dan pakaian.

Bisik rakan wartawan yang berkali-kali lebih senior dari saya dalam loghat Kedah yang agak cair, "Hang tengok, kata nak harmoni, nak mahabbah tapi duduk suku-suku, lepas makan, dengaq orang cakap sikit balik.

"Baik pi minum di kedai kopi, sama mcm nie juga. Melayu duduk dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India." - Hampir sama dengan apa yang saya fikirkan tadi.

Makan 'tengah hari' tapi makan sebelum pukul 12 tgh kerana hormat sami budah yang tidak makan selepas waktu itu. Lepas majlis sami budha membacakan doa untuk kesejahteraan dan kemakmuran Kelantan.

Bila habis, semua angkat punggung, pusing diluar kurang lebih lima minit itu pun menunggu giliran lift kosong dan terus balik. Soalnya, sampai atau tidak matlamat untuk harmoni dan persahabatan antara agama.

Bukan nak salahkan orang belanja makan tengah hari tadi, tetapi realiti sebenar hubungan antara agama di negara ini adalah sama dengan majlis itu. Tidak jauh bezanya. Masing-masing ada yang terpendam dan memendamkan dan menunggu masa untuk meletus.

Sukar untuk memperbaiki hubungan antara agama dan bangsa di negara ini kerana ikatan yang ada hanya pada kulitnya mungkin senipis kulit bawang. Semua ini berpunca daripada kepentingan politik yang menyebabkan rakyat makin kacau dan dendam makin membara.

Saya teringat kata seorang profesor keturunan Cina yang fasih malah lagi Melayu dari Melayu tentang keadaan ini. Katanya, semua harus menerima perkembangan kelompok meningkut kumpulan, kumpulan-kumpulan ini tidak akan berasimilasi dan pluralisme akan terus berkembang.

Penyelesaian yang diberikan oleh profesor ini hanya satu, betulkan semula sistem pendidikan hapuskan sekolah jenis kebangsaan - baru wujud asimilasi, katanya. Tegah saya, sampai kiamat MCA, DAP, MIC, PKR dan Gerakan tidak akan bersetuju.

Lantas beliau menyambut, sampai kiamat juga kita akan hidup dalam pluralisme yang sedang menunggu masa untuk tumbang.


*bila akan kiamat?

Uniknya Kelantan...

Tepat 1 Mei ini, genap tiga tahun saya bertugas di Kelantan, negeri serambi Mekah yang menjadi kemegahana rakyatnya. Sepanjang hampir tiga tahun banyak penglaman menarik yang saya lalui sebagai seorang pengutip dan pelapor cerita.

Saya selusuri setiap hampir setiap pelosok negeri bermula dari kaki Gunung Stong, Batu Melintang di Jeli, sehingga Kota Bharu. Bergaul dari penarik beca, mak cik pak cik di pasar Siti Khadijah sehingga ke dalam JKR 10, Rumah Ghu dan Istana Kubang Kerian. Pendek kata hampir kesemuanya saya lalui.

Semuanya serba menarik, pengalamannya amat berbeza dari negeri-negeri lain - serba serbi unik yang kadang kala membuatkan kepala pusing. Orangnya hebat - pasti lagi hebat dari negeri-negeri lain, ada yang gedebe, ada yang manis, ada yang pemurah, ada yang baik hati, ada yang tikam dari belakang dan segalanya ada. Senang cerita lain dari negeri-negeri lain.

Satu perkara yang saya pelajari di sini ialah kesetiaan kepada negeri tiada tolak bandingnya, biar apa pun terjadi rakyatnya akan mempertahankan rakyatnya dan negerinya. Kerana itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang digelar atau ada yang mengatakan menggelar dirinya sendiri 'Tok Guru' dapat kekal lama - kerana dia unik, lain dari yang lain.

Sekiranya majoriti kata A, pastinya Nik Aziz kata B dan pastinya juga orang-orang di sini umumnya akan mengikut tanpa banyak takwil. Sikap mempertahankan pemimpin ini sewajarnya diikuti oleh rakyat Malaysia mempertahankan pemimpin tapi jangan sampai membuta tuli.

Entah apa lagi nak diperkatakan tentang Kelantan sebab semuanya unik, sampai penuh kepala dan tidak diluahkan di sini. Cukuplah saya katakan Kelantan unik dari kaki lima sehingga ke Kota Darulnaim, dari Kota Darulnaim sehinggalah ke Istana. Salam.


*untuk hidupkan kembali laman sesawang yang dah bersawang ini... mohon ampun