Monday, November 10, 2008

Selamat Berjuang


Tahniah kepada para perwakilan yang menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Sik Sabtu lalu. Keputusan pemilihan bahagian telah diketahui dan tahniah kepada ADUN Belantek, YB Tajuddin Abdullah yang akan menerajui kepimpinan UMNO bahagian ini hasil warisan Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Tugas berat menanti YB kerana mewarisi kepimpinan yang sakit dan bernanah di sana sini. Pun begitu aku percaya dia mampu menyembuhkan atau setidaknya mengurangkan rasa sakit dengan kerjasama semua pihak dan gaya kepimpinannya.
Dalam masa yang sama aku berharap, Datuk Othman Desa (yang tewas kepada YB) untuk terus menyumbangkan bakti dan tenaga walaupun tidak berjawatan tinggi. Bagi aku sekiranya mahu UMNO Sik ini kembali kuat, sesiapa saja yang bertanding untuk jawatan tertinggi seperti bekas YB, Ismail Harun; Datuk Hasbullah dan Nazri (Pemuda) perlu diberikan ruang untuk menabur berbakti.

Kerana apa?. Kerana aku percaya mereka mempunyai minat dan ikhlas untuk berkhidmat kepada parti, sayang jika tenaga dan kebolehan mereka dibiarkan begitu saja.
Jangan kita mengulangi kesilapan yang sama meminggirkan mereka yang berbakat demi kepentingan peribadi atau takut dengan bayang sendiri.



Sunday, November 9, 2008

Al Fatihah



Al Fatihah buat bekas bos aku, Allahyarham Datuk Sirajuddin Mohd. Rafia atau lebih dikenali dengan Abang Siraj yang mengembuskan nafas terakhir malam kelmarin di rumah sahabatnya Faridah Hitam (bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia).

Tak banyak peristiwa yang dapat aku catatkan dan diingati sewaktu beliau bertugas sebagai bekas penolong ketua pengarang kumpulan Utusan disebabkan hanya sekejap aku berada di ibu pejabat Kuala Lumpur sebelum bertukar ke Seremban dan Kota Bharu.

Pun begitu aku mengenalinya melalui cerita dan kolum Gosip Coffe House. Apa yang boleh aku simpulkan Abang Siraj amat rendah diri dan disenangi oleh kakitangan Utusan.

Al Fatihah moga rohnya dicucuri rahmat.

Saturday, November 8, 2008

Janji Islam


Sejak dua menjak ini orang semua sibuk bercakap mengenai pemilihan UMNO sampai terlupa dengan musuh-mushnya. Aku nak alihkan sikit perhatian semua orang ini kepada parti-parti lawan. Begini ceritanya -

Kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Kelantan 1 Mei 2007, perasaan aku bercampur baur kerana memikirkan tugas yang mencabar di sini. Mana tidaknya tugas aku sebagai wartawan akhbar arus perdana yang terpaksa mengutip cebisan serita di negeri yang ditadbir oleh Pas.

Aku memikirkan pelbagai kesukaran yang terpaksa aku tempuhi di sini tetapi selepas seminggu berada di sini aku mula berasa selesa, bagi aku kepimpinan Pas agak cantik dan comel ditambah pula dengan perwatakan tok guru Nik Aziz yang bersih dan lembah lembut.

Pun begitu selepas setahun berada di sini dan selepas pilihan raya umum ke-12, tanggapan aku terhadap parti 'Islam' ini mula berubah. Aku mula melihat satu demi satu 'kebijaksanaan' pemimpin Pas memutar rakyat negeri ini dengan nama Islamnya.

Aku sebenarnya tidak arif dalam hukum mungkir janji tapi fahaman aku orang yang mungkir janji berdosa besar. Aku minta kawan-kawan supaya melihat dan mengkaji satu persatu fakta ini dan terpulang kepada kawan-kawan untuk membuat keputusan berdosa atau tidak, Islam atau tidak.

Pada PRU 12, Pas membuat pelbagai janji dalam manifestonya, di bawah aku senaraikan sebahagian daripadanya;

1. Melanjutkan cuti bersalin daripada dua bulan kepada tiga bulan bagi setiap kelahiran tanpa had kakitangan awamnya.

2. Menyediakan Tabung Niaga Wanita Kelantan

3.Membina kompleks sukan wanita yang dilengkapi stadium khas dan masjid.

4. Melaksanakan rancangan kesihatan awam, rancangan kesejahteraan awam dan rancangan digital awam dengan memperkasakan peranan pusat ICT desa.

Pelaksanaan kesemua janji ini kosong belaka, ini terbukti pada sidang dewan undangan negeri kekantan yang ke-12 baru-baru ini, kerajaan negeri tidak serius dalam pelaksanaanya.

Sebagai contoh, cuti bersalin, Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika menjawab soalan berhubung perkara itu menjawab ia tidak dapat dilaksanakan kerana melibatkan dasar dan perlu digubal di Parlimen.

Mengenai tabung niaga wanita, exco wanita menjawab disebabkan sudah ada banyak tabung kerajaan negeri tidak bercadang untuk mewujudkannya.

Begitu juga dengan ICT, kerajaan negeri sedang mengkaji pelaksanaannya dan projek stadium diserahkan kepada swasta di bawah program pembangunan Lembah Sireh.

Soal aku mudah kenapa berjaji jika tidak mampu, manifesto hanya sekadar untuk memancing undi.

Malah kerajaan negeri tidak memasukkan peruntukan khusus untuk skim Takaful Kifalah ke dalam Bajet 2009 yang memerlukan sekurang-kurangnya RM8 juta. Untuk rekod skim insurans tersebut menjadi penyumbang utama Pas kekal di Kelantan.

Selepas tidak berpuas hati dengan jawapan itu, aku mencari-cari ruang untuk mendapatkan jawapan yang tepat dari penyokong kerajaan Pas. Pada satu pagi ketika minum bersama bos, secara kebetulan seorang wakil rakyat Pas masuk ke kedai yang sama duduk di meja yang sama kerana ingin berbual dengan kami.

Peluang yang ada aku bertanya, kenapa bajet yang dirangka kerajaan negeri tidak mengikut manifesto. Dia menjawab mudah, kerajaan tidak pernah mengambil kira manifesto ketika menyediakan bajet.

"Kalau kebetulan kena, kenalah (manifeso) kalau tidak, tidaklah, orang kampung mana tahu apa itu manifesto yang mereka tahu hanya Islam," katanya sambil menghirup secawan kopi.
Maka tidak hairanlah apabila penyokong kerajaan menghentam kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Kata mereka, kami sudah berlapik dan menggunakan pendekatan 'lunak' untuk mengkritik.

Bagi aku kerajaan Pas Kelantan hanya berretokrik dan tidak mampu untuk melaksanakan pembangunan walaupun sudah hampir suku dekad mentadbir negeri yang kaya dengan rakyat yang rajin ini.

Soalnya, adakah ini modul kerajaan Islam yang diuar-uarkan, tidak menunaikan janji dan hanya berselindung di balik topeng Islam... apa yang di bandar Kota Bharu hari ini adalah hasil daripada pelaburan swasta, tidak ada satu pun sumbangan kerajaan negeri.

Jika dicabut pembangunan yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) dahulu seperti Kota Darulnaim, Pasar Siti Khadijah dan Balai Islam Lundang, maka akan kelihatan lubang yang besar di bandar ini.

Cukuplah berretorik kembalilah kepada realiti... adakah ini janji Islam?


wassalam...

Friday, November 7, 2008

Amerika tetap Yahudi



Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama melantik Rahm Emanuel sebagai Ketua Staff, jawatan terpenting dalam White House.

Sebuah akhbar di Israel turut menganggap Emanuel yang berketurunan Yahudi sebagai `orang kita di White House.’

Stesen-stesen radio dan akhbar Israel menyatakan bapa Emanuel dilahirkan di Baitulmaqdis dan pernah menjadi anggota sebuah pergerakan bawah tanah Yahudi, Irgun yang menentang askar-askar British sebelum penubuhan negara Israel.

Menurut sebuah stesen radio, Emanuel sendiri secara sukarela berkhidmat dengan tentera Israel dan bertugas selama dua bulan di sebuah pangkalan di utara Israel dalam Perang Teluk pada 1991.

“Adalah jelas bahawa beliau akan menggunakan pengaruh ke atas Presiden (Obama) supaya menjadi pro-Israel,” kata bapa Emanuel, Dr. Benjamin kepada akhbar Maariv di Israel.



Sama dengan telahan aku dalam posting sebelum ini - tahniah mr obama.

Kerja orang cerdik



Apabila manusia tidak ada fikiran dan tidak ada kerja macam-macam idea kreatif yang muncul. Tetapi kita terkadang terlupa idea itu tidak mendatangkan faedah malah lebih memudaratkan.

Semalam seorang pemuda terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kerana idea gila. Bukan itu sahaja dia juga turut menyusahkan bomba semata-mata untuk menyelesaikan kerja gilanya.

Lelaki yang berasal dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas, Kelantan ini memasukkan tiga bentuk cincin tembaga ke ibu jarinya sejak sebulan lalu sehingga menyebabkan ketiga-tiga cincinya melekat pada jari yang kian membengkak.

Doktor yang merawat buntu kerana gagal mengeluarkan cincin yang melekat dengan daging lalu menghubungi bomba meminta bantuan dan bomba juga buntu.

Akhirnya doktor terpaksa membawa masuk pemuda ini ke dalam bilik bedah dan memotong ketiga-tiga cincin ini dengan mesin pemotong tulang belakang.

Nasihat aku satu, penuhilah masa terluang anda dan jangan biarkan ia kosong begitu sahaja sehingga syaitan datang dan membisikkan idea serta kerja gila.


wasalam.

HENTI GURIS MELAYU

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.

‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

*Hati aku dah lama terguris tapi masih ramai Melayu yang bodoh dan dungu menyokong perjuangan yang menghancurkan dan mengguris hati umatnya sendiri.

DAULAT TUANKU !

Thursday, November 6, 2008

Tahniah Mr. Obama


Angkat tabik tanda tahniah kepada Mr. Obama, mencipta pelbagai rekod dalam sejarah Amerika Syarikat. Kemenangannya sebagai manusia yang paling power di dunia ini disambut meriah diseluruh pelusok dunia sampai orang di Bandar Obama, Jepun turut bergembira (pada hal tanda kena mengena cuma kebetulan nama sama je). Bagi aku kemenangan Obama tak ada apa sangat sebab dibelakangnya sama YAHUDI... Obama hanya topeng. Kalau ada sedikit perubahan terhadap layanan kepada negara-negara Islam itu pun aku sudah cukup bersyukur. Aku tidak berharap lebih dari itu daripada Obama.

Satu perkara yang pelik juga berlaku di Malaysia apabila ada juga manusia yang cuba ambil kesempatan. Manusia ini tidak lain dan tidak bukan Lim Kit Siang, dia anggap kemenangan Obama menunjukkan US sudah berubah dan tidak lagi mengamalkan prinsip perkauman. Jadi Malaysia pun kena berubah macam itu juga, bukan Melayu boleh jadi PM juga.

Bagi aku saranan dia tidak boleh dipakai sebab suasana di sini dan US amat berbeza. Kita baru 50 tahun merdeka manakala US merdeka lebih dari 200 tahun. Kita patut hormati undang-undang dan perlembagaan yang ditetapkan. Jangan terikut-ikut sangat dengan gaya barat.

Untuk menyelamatkan Malaysia aku syorkan supaya Kit Siang dan kuncu-kuncunya di buang negara, kalau tidak mereka akan terus merosakkan perpaduan negara.