Monday, October 13, 2008

Antara PM dan Presiden UMNO.

Saya amat sanjung keperibadian Pak Lah yang sanggup untuk tidak bertanding pada pemilihan agung UMNO akan datang. Beliau telah memilih keputusan (walaupun agak terlewat) selepas mendengar desakan dari pelbagai pihak termasuk akar umbi parti yang mahukan perubahan dan penjenamaan semula UMNO secara total.

Pun begitu beberapa persoalan yang sedang bermain-main dibenak fikiran saya, iaitu mampukah Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikan Pak Lah biarpun sebelum ini Pak Lah telah memberikan isyarat secara tidak rasmi yang berharap supaya timbalannya akan menjadi penggantinya kelak.

Ini disebabkan pemilihan seorang Presiden UMNO dan seorang Perdana Menteri adalah dua perkara berbeza.

Presiden UMNO adalah tertakluk di bawah perlembagaan parti manakala Perdana Menteri tertakluk di bawah perlembagaan negara. Harus diingat juga kuasa untuk melantik Perdana Menteri tertakluk kepada kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Bab 3 Fasal 40 (2) Perlembagaan Persekutuan Yang Dipertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri
(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen
(c) meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaandan kebesaran Raja-Raja Melayu dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Berdasarkan pengalaman selepas pilihan raya umum lalu, Perlis dan Terengganu adalah contoh terbaik. Apabila pelantikan Menteri Besar kedua-dua negeri dibuat atas campur tangan pihak istana.

Soalnya mungkinkah apa yang terjadi di Perlis dan Terengganu akan berulang lagi.... Adakah Presiden UMNO selepas ini akan menjadi PM Malaysia....


*amat berharap politik negara akan stabil.
masih mencari siapa calon yang paling layak jadi PM.

No comments: