Tuesday, August 25, 2009

Peranan Media Massa

1. Pendahuluan

1.1 Peranan Media Massa Ke Arah Pembangunan Negara

Peranan media massa dalam membangunkan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa khasnya akhbar untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur.
Contoh yang paling jelas ialah penubuhan akhbar Utuan Melayu (Utusan Malaysia), ia ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada era sebelum kemerdekaan khas untuk menjadi penghubung, pentafsir dan pemerhati di antara golongan nasionalis dengan rakyat. Ketika rakyat menghadapi saat-saat genting itu, akhbar ini juga menyalurkan sedikit cerita ringan seperti prebiu filem sebagai hiburan untuk menenangkan rakyat.
Setelah mencapai kemerdekaan, zaman mula berubah dan penekanan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah untuk membangunkan negara ini. Di sini peranan media massa seperti Utusan Melayu sekali lagi diperlukan. Agenda-agenda pembangunan disalurkan melalui media massa bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas. Media digerakkan sepenuhnya umpamanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menubuhkan Bahagian Pembangunan dan Pertanian pada tahun 1948, khusus untuk mewujudkan kesedaran kepada rakyat tentang pembangunan.
Ketika negara sedang rancak membangun, secara tiba-tiba ia terberhenti seketika apabila tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 – rusuhan kaum. Ia menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan yang tegang dan memerlukan kerajaan bertindak dengan segara.
Peranan media sekali lagi diperlukan untuk memberikan tafsiran kepada rakyat selepas Perdana Menteri ketika Tun Abdul Razak Hussin memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengurangkan jurang antara kaum bagi mengelakkan berlakunya ketegangan seperti tragedi berdarah itu.
Sejak daripada itu peranan media menjadi semakin penting dalam pembangunan negara bagi menyampaikan maklumat dan menyedarkan rakyat supaya bekerjasama dengan kerajaan. Oleh yang demikian, hubungan di antara media dan kerajaan di negara ini amat rapat maka tidak hairan jika kita melihat akhbar terkenal di negara ini seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star disebaliknya dikuasai oleh parti pemerintah.
Biarpun dimiliki oleh parti seperti UMNO dan MCA, media masih bebas untuk menjalankan fungsinya sebagai pemerhati dalam setiap agenda pembangunan yang dilakukan. Misalnya, pada tahun 2004, Utusan Malaysia melaporkan kerakusan 35 pemaju yang menggondolkan kawasan Bukit Cerakah di Shah Alam sehingga mengejutkan semua pihak termasuk Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pendedahan itu menarik perhatian semua pihak terutama kerajaan. Dalam kelekaan kita mengejar pembangunan aspek alam sekitar dilupakan sehinggakan kawasan tadahan air turut menjadi mangsa
Justeru itu, dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia.
Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya 'Teknologi Maklumat'. Internet digunakan dengan meluas dinihari kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya.
Selain itu, maklumat juga dapat diperolehi melalui cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan peralatan morden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan.

1.2 Definisi Komunikasi Massa

Pelbagai pihak cuba memberikan denifisi komunikasi. Pada tahun 1976 sahaja, Frank Dance dan Carl Larson telah mengumpulkan sebanyak 126 definisi komunikasi yang berlainan. Sedangkan tafsiran yang paling mudah untuk komunikasi ialah perkongsian maklumat dan makna di antara sumber dan penerima.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain lagi manakala komunikasi massa beerti komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya
Menurut Wikipedia, komunikasi adalah satu proses untuk menyampaikan maklumat dari seseorang kepada individu lain dan ramai sarjana komunikasi memperakui definisi tersebut dan Model Lasswell ‘siapa berkata apa kepada siapa melalui saluran mana dengan kesan apa’.
Istilah “komunikasi” atau “communication” sebenarnya berasal dari Bahasa Latin iaitu “communicatus” yang bererti “berbagi” atau “menjadi milik bersama”. Komunikasi menurut kamus bahasa pula ialah mengacu pada suatu upaya yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan.
Berelson & Steiner menafsirkan komunikasi sebagai suatu proses penyampaian informasi, gagasan, emosi, keahlian dan lain-lain melalui penggunaan simbol-simbol seperti kata-kata, gambar, angka-angka dan lain-lain.
Komunikasi massa boleh ditafsirkan ialah proses penyampaian maklumat kepada massa iaitu kumpulan yang lebih besar agar maklumat tersebut dapat dikongsi secara bersama di antara sumber dan penerima. Jika di lihat melalui model David Berlo, 1960 yang menafisrkan bahawa komunikasi melibatkan empat elemen asas iaitu Source – Message – Channel – Receiver (S.M.C.R). Media massa merupakan salah satu saluran (medium) dalam proses komunikasi bagi menyampaikan maklumat. Sebagai contoh, Perdana Menteri (source) ingin menyampaikan gagasan barunya (message) kepada massa (receiver), saluran yang paling mudah untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat tersebut ialah melalui media (channel).


2. Fungsi-Fungsi Media Massa.

Media massa mempunyai fungsinya yang tersendiri biar apa pun penafsiran yang diberikan terhadap sesuatu media. Lazimnya setiap media tersebut mempunyai sasaran khalayaknya yang tersendiri dan oleh itu fungsi yang dimainkanya agak berbeza malah kadang kala ada yang melihatnya dari perspektif yang negatif. Sebagai contoh, majalah hiburan seperti Mangga dan Hai, ia memaparkan kehidupan seharian artis dan ada di antara gambar yang disiarkannya agak keterlaluan. Bagi mereka yang gemarkan media sebegitu akan menganggapnya sebagai hiburan biasa tetapi bagi golongan tertentu mereka melihatnya dari sudut yang berbeza dan menganggapnya sebagai keterlaluan serta lari dari budaya serta hukum agama sendiri.
Secara amnya, para sarjana komunikasi bersetuju bahawa media massa mempunyai empat peranan utama iaitu pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur.
Keempat-empat peranan ini boleh dilihat dengan jelas berdasarkan sasaran setiap media terbabit dan pengisiannya, adakah ia memberikan manfaat kepada khalayak. Pun begitu setiap fungsi terbabit mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Khalayak sewajarnya dapat menilai di antara baik dan buruk suatu media bagi memastikan mereka memperoleh maklumat yang sebenarnya. Seperti apa yang dikatakan oleh John R Wenburg dan William Wilmot, ‘komunikasi adalah suatu usaha untuk memperoleh makna’. Ia juga sejajar dengan Donald Byker dan Loren J. Anderson yang menafsirkan komunikasi adalah satu proses perkongsian maklumat antara dua individu atau lebih.
Sekiranya dilihat secara mendalam, keempat-empat fungsi media massa terbabit mempunyai kesan baik dan kesan buruk kepada khalayaknya. Kesan tersebut akan berlaku sekiranya khalayaknya terlalu bergantung kepada media massa untuk mendapatkan maklumat dan berita yang tanpa merujuk kepada mana-mana sumber alternatif disebabkan terlalu sibuk bekerja dan sikap individualistik.
Pun begitu dalam dunia serba moden ini, akan timbul kekeliruan apabila merujuk kepada terlalu banyak sumber kerana media massa hanya menyampaikan maklumat berdasarkan agenda dan kehendak organisasi yang diwakili mereka manakala selebihnya tidak disalurkan kepada khalayak untuk membuat pertimbangan.
Sebagai contoh, apa yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan New Strait Times amat berbeza dengan Harakah serta Suara Keadilan. Tetapi kedua-dua jenis akhbar itu tidak menipu khalayak kerana mereka hanya mengutip isi yang hanya mengguntungkan organisasi mereka sahaja.
Keadaan bertambah buruk apabila teknologi maklumat berkembang dengan pesat dan timbul media baru yang disalurkan melalui internet seperti blog. Pertumbuhan blog seperti cendawan selepas hujan sejak akhir-akhir ini menyebabkan wujudnya satu fenomena baru di mana khalayak seolah-olah lebih mempercayai blog sedangkan kredibilitinya tidak diragui.
Berdasarkan penerangan di atas secara jelas bahawa fungsi media massa iaitu, pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada khalayak.

2.1 Fungsi Pemerhati.

Peranan media massa sebagai ‘pemerhati’ boleh ditafsirkan – ‘media massa bertugas sebagai pemerhati yang mengawasi sebarang peristiwa yang berlaku disekitar kita’. Melalui pemerhatian tersebut media akan melaporkan kepada khalayak melalui berita atau maklumat tetapi tidak semua perkara yang berlaku akan dilaporkan kerana media hanya memilih peristiwa yang siginifikan dan memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat disekelilingnya.
Bagaimanapun fungsi media sebagai pemerhati terbahagi kepada dua iaitu amaran dan instrumental.

2.1.1 Amaran

Media massa amat peka dan sentiasa memerhatikan keadaan disekelilingnya seperti ancaman bahaya, perubahan cuaca, ramalan cuaca dan kemelesetan ekonomi yang kemudiannya memberi amaran kepada khalayak agar bersiap sedia secara fzikal dan spiritual.
Sebagai contoh, laporan muka depan akhbar The Star pada 12 Jun 2009 mengenai ancaman selesema babi atau influenza A H1N1. Biar pun pada ketika itu, Malaysia belum merasai serangan wabak tersebut tetapi akhbar ini telah memberikan amaran awal kepada khalayak bahawa ia akan tiba di negara ini pada bila-bila masa dengan memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyufatkan penyakit tersebut sebagai pandemic iaitu mencapai tahap tertinggi, fasa enam amaran terhadap anacaman berkenaan. Amaran tersebut terbukti apabila pada 12 Jun, akhbar yang sama di muka depannya melaporkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyifatkan wabak tersebut semakin serius di negara ini biar pun sebelum itu kerajaan mengeluarkan kenyataan supaya orang ramai tidak perlu panik.
Jika dilihat pada satu aspek laporan media itu mempunyai kebaikannya kerana ia memberi amaran lebih awal kepada khalayak supaya bersedia untuk menghadapi wabak berkenaan pada bila-bila masa. Justeru itu, khalayak boleh melakukan persedian dengan mendapatkan maklumat tambahan mengenai selesema babi dan langka-langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka dijangkiti. Khalayak tidak perlu lagi ke sana sini untuk mendapatkan maklumat mengenai penyakit terbabit kerana di akhbar tersebut juga disediakan maklumat tentang langkah-langkah untuk membuat persediaan bagi menghadapi ancaman tersebut.
Tetapi sekiranya khalayak tidak meniliti dengan mendalam laporan terbabit dan tidak mendapat maklumat sebenar situasi selesema babi di negara ini, fungsi sebagai pemberi amaran tersebut akan membawa kepada keburukan yang serius. Ini kerana keadaan itu mungkin akan menimbulkan keadaan kelam kabut pada tahap awal, contohnya, orang ramai tidak berani keluar dari rumah untuk bekerja. Sekiranya tidak dibendung ia akan menyebabkan ekonomi negara terjejas dan keadaan negara menjadi tidak stabil sehingga menyebabkan pelabur bimbang untuk datang ke sini.

2.1.2 Instrumental

Pemerhati berbentuk instrumental ini membantu masyarakat. memperoleh maklumat
seperti harga di bursa saham, produk baru, idea fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini bukan hanya dikhususkan kepada media berbentuk berita, penerbitan-penerbitan ringkas dan kandungan media bertujuan menghibur seperti majalah teknikal juga menjalankan peranan mengawasi.

Contoh yang paling mudah ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyiarkan berita mengenai komentar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan rakyat Malaysia termasuk pelajar yang belajar di sebarang laut untuk memahami konsep dan prinsip 1Malaysia.

Komentar tersebut bertepatan dengan fungsi sebagai pemerhati instrumental. Kebaikannya ialah Konsep yang menjadi gagasan baru yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mahukan rakyat rakyat di negara ini bersatu padu di bawah konsep terssebut menuju ke arah pembentukan satu negara dan bangsa.

Bagaimanapun keburukkannya apabila ia dilihat dari perspektif yang lain terutama dari sudut politik kerana ia akan dilihat sebagai satu modal politik untuk menghadapi persaingan dengan parti-parti politik yang lain sedangkan ia jelas menunjukkan bahawa gagasan itu amat baik bagi mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

2.2 Pentafsir

Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa.

Fungsi pentafsir media massa ini amat berkait rapat dengan fungsi pemerhati. ‘Gatekeepers’ media akan menentukan mana berita yang penting yang akan disebarkan menurut kepentingan dan keutamaannya.

Bukan semua berita yang diterima akan disebarkan di televisyen atau radio. Selain dari menyiarkan berita, media juga menyediakan ruang untuk komentar pembacanya. Artikel yang membincangkan implikasi sesuatu polisi, kritikan, karikatur juga membentuk interpretasi khalayak.

Berdasarkan bahan yang dipaparkan ini, khalayak memperoleh berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka. Interpretasi maklumat juga boleh didapati di halaman editorial surat khabar. Interpretasi, komen dan pendapat disediakan supaya pembaca memperoleh perspektif mendalam mengenai sesuatu pemberitaan.

Fungsi ini juga dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis peristiwa-peristiwa semasa atau polisi kerajaan. Kenaikan harga gas dan impak kepada harga makanan juga termasuk dalam kategori ini.

Sebagai contoh stesyen televisyen TV9 mengadakan program Hujah untuk menjelaskan isu-isu semasa di negara ini dengan melibatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan ia dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Umpamanya dalam satu siri mengenai krisis di Perak yang disiarkan pada 31 Mac lalu, forum tersebut tiga ahli panel telah dijemput iaitu Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM, Prof. Shad Saleem al Faruqi, Peguam Kanan Datuk Shafee Abdullah dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan. Kesemua mereka adalah pakar dalam bidang undang-undang yang dijemput khas untuk memberikan pandangan mengenai kekusutan yang berlaku di Perak selepas tiga adun dari pakatan pembangkang keluar dari parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas.

Melalui program tersebut khalayak dapat menilai dan memahami perkara yang dibincangkan tersebut dengan bantuan tafsiran ahli panel berkenaan. Sekali gus ia dapat membentuk khalayak yang berilmu walaupun secara jelas hujah ketiga-tiga panel terbabit tidak memberikan jalan penyelesaian yang terbaik kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Pun begitu ia sedikit sebanyak membantu khalayak memahami dengan jelas proses perundangan yang berlaku dalam krisis berkenaan dan menyedarkan khalayak bahawa terdapat ‘grey area’ dalam perlembagaan dan perundangan di Perak.

Bagaimanapun keburukannya mungkin percanggahan pendapat di antara ahli panel terbabit menyebabkan khalayak terutama mereka yang berpendidikan rendah bertambah keliru dan sukar untuk menilai serta membuat keputusan pendapat yang mana boleh diterima pakai. Perlu diingat sebagai manusia biar pun berpendidikan setinggi mana sekali pun mereka tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, sebarang maklumat yang kurang tepat atau silap mungkin diketengahkan dalam perbincangan mereka. Akibatnya khalayak mungkin terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat yang lazimnya bergerak sama pantas.

2.3 Penghubung

Media massa berkebolehan menggabungkan elemen yang berbeza di dalam masyarakat. Contohnya, pengiklanan berusaha menggabungkan keperluan pembeli dengan produk penjual. Pengundi mengumpul maklumat berkenaan wakil rakyat melalui surat khabar, televisyen, radio dan laman web. Menerusi rancangan yang disiarkan di media elektronik atau di akhbar, derma untuk kanak-kanak yang sakit dan mangsa peperangan dan bencana alam yang memerlukan bantuan ini.

Fungsi menyampaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan yang dilakukan oleh media. Ia boleh menjadi penghubung masyarakat yang terpisah sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat mahu pun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa.

Dalam perkembangan dunia teknologi maklumat fungsi ini dapat dilihat dengan jelas. Maklumat melalui apa yang dipanggil sebagai media baru ini (internet) berada dihujung jari khalayak. Segala apa yang dimahukan boleh diakses dengan secepat mungkin.

Pelbagai laman web, seperti ensklopidia elektronik ‘wikipedia’, blog, laman berita maya (Utusan Online, Bernama), laman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘friendster’ memudahkan masyrakat berhubung dan mendapatkan pelbagai maklumat walaupun ia berlaku pada masa lampau.

Ia menyediakan wahana dan platform untuk berhubungan antara dua atau ramai orang atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

Kadang kala media Internet juga mencipta perhubungan dan menyatukan kumpulan sosial yang dulunya tidak menyedari bahawa mereka mempunyai minat yang serupa. Fungsi menghubungkan ini juga memperlihatkan kemampuan media menyediakan akses kepada masyarakat untuk menyuarakan kepentingan mereka.

Fungsi menghubung ini walau bagaimanapun ada kelemahannya. Ia mungkin memberi
peluang kepada kumpulan tertentu untuk memprotes sehingga membawa kepada berlakunya pemberontakan. Ini boleh membawa bahaya kepada masyarakat.

2.4 Penghibur

Kebanyakan pihak melihat peranan media untuk menghibur khalayak sebagai fungsi yang paling dominan. Fungsi komunikasi massa yang paling adalah untuk menghibur. Filem, muzik , berita sukan, rancangan hiburan, sitkom dan kartun yang disiarkan di media memainkan fungsi hiburan kepada khalayak dengan kos yang rendah dan murah.
Kebanyakan program di televisyen bertujuan memberi hiburan kepada khalayak. Khalayak menggunakan wang dan masa mereka menonton wayang, mendengar muzik, menyewa video, melihat rancangan komedi di televisyen dan melayar internet.

Fungsi ini boleh didefinasikan sebagai ‘media massa bertugas sebagai penghibur kepada masyarakat melalui program-program hiburan sama ada bermaklumat mahu pun sekadar hiburan semata-mata untuk dimanfaatkan oleh masyarakat’.

Bagi organisasi media penyiaran program hiburan adalah memenuhi kehendak khalayak dan terpulang kepada khalayak untuk memanfaatkannya.

Sebagai contoh Festival Filem Malaysia ke 22 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Ogos lalu. Stesyen televisyen Astro Ria menyiarkan laporan terperinci festival tersebut bermula dari langkah awal artis masuk memasuki dewan tersebut melalui rancangan ‘Karpet Merah’. Ia seolah-olah pertunjukkan fesyen dikalangan pembikin filem di negara yang pastinya selepas ini akan menjadi ikutan khalayak di negara ini.

Di karpet merah tersebut pembikin filem akan ditahan untuk diwawancara dan ditanya mengenai perkembangan semasa mereka seperti aktiviti terbaru dan sebagainya. Ia memberikan laporan terkini kepada khalayak bagi mengetahui perkembangan semasa di mana ada diantaranya mungkin sedang terlibat dalam pembikinan filem terbaru.

Ini semua disebabkan mereka mengetahui melalui fungsi ini ia membawa pulangan yang lumayan kerana setiap gerak geri artis akan menjadi ikutan disebabkan pengaruh mereka yang terlalu kuat. Maka tidak hairanlah pihak industri berebut-rebut untuk mendapatkan artis terkenal sebagai duta produk mereka.

Pun begitu, fungsi ini sebenarnya turut membawa keburukan kepada khalayak. Ketaksuban khalayak terhadap artis akan menyebabkan khalayak akan meniru secara membuta tuli sedangkan ada di antara artis membawa budaya yang amat bertentangan dengan nilai-nilai serta kehendak agama Islam.

Disebabkan keterujaan itu juga kadang kala media massa menyiarkan terlalu banyak hiburan yang mengandungi keseronokan melampau sehingga mengabaikan peranannya yang lain untuk mendidik masyarakat menerima maklumat.



3. Kesimpulan

Secara amnya, media massa di negara ini telah memainkan perananya untuk membangunkan negara ini walaupun ada pihak yang beranggapan bahawa tidak ada kebebasan media. Konsep kebebasan media dalam rangkanya sendiri di mana kerajaan memainkan peranan dalam menentukan media berfungsi sebaiknya dalam masyarakat. Bagaimanapun ruang tetap diberikan kepada media untuk berfungsi sebagai pemerhati dan pentafsir.

Berdasarkan konsep inilah negara Malaysia dapat dibangunkan dengan sempurna tanpa terlalu banyak rintangan kerana media bersama-sama kerajaan membawa satu agenda yang sama. Jika ruang yang diberikan sepertimana di Amerika Syarikat sudah pasti akan timbulnya pelbagai masalah kerana rakyat mungkin keliru dengan dakyah yang disampaikan oleh media yang menyokong kumpulan berhaluan kiri.

Sejarah telah membuktikan bagaimana media massa di negara ini membantu menghapuskan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehinggalah mereka meletakkan senjata dan keluar dari hutan. Seperti yang dijelaskan oleh bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainudin Maidin dalam memoirnya ‘Hero Tak Didendang’, media telah mengetahui sejak awal lagi proses perdamaian di antara PKM dan kerajaan bagaimanapun ia tidak didedahkan. Dalam masa sama, kerajaan meminta media supaya membantu dalam menyiapkan mental rakyat terutama bekas polis dan askar untuk menerima peletakkan senjata itu.

Kesimpulannya media telah memainkan peranannya dengan baik di negara ini, semua peranannya telah berfungsi tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki lagi. Biar pun ada yang menyebut kerajaan mengekang media tetapi dengan wujudnya media baru melalui internet kebebasan telah diberikan sepenuhnya kepada media.

Kerajaan harus mengawal kebebasan media bagi memastikan aspek pembangunan diteruskan dan menyiapkan rakyat untuk terus menerima lebih banyak kemajuan walaupun kadang kala kemajuan itu sendiri yang akan membunuh niat baik kerajaan.



4. Bibliografi

Bungin, B. 2007. Sosiologi Komunikasi: Teori, Paradigma, dan Diskursus Teknologi Komunikasi di Masyarakat. Kencana. Jakarta
Effendy, Onong Uchjana. 2003. Ilmu, Teori, dan Filsafat Komunikasi. (Bandung: PT. Citra Aditya Bakti).
Griffin, EM. (2003). A First Look at Communication Theory, 5th Edition. USA: McGraw-Hill
http://en.wikipedia.org/wiki/Communication
http://ms.wikipedia.org/wiki/Komunikasi
http://www.youtube.com/watch?v=Wzl9sPI3fZs
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=431208
Littlejohn, Stephen W. (2002). Theories of Human Communication. USA: Wadsworth Group
Miller, Katherine. (2002). Communication Theories: Perspectives, Processes, and Contexts. USA: McGraw Hill
Mulyana, Dedy, 2001, Metodologi Penelitian Kualitatif (Paradigma Baru Komunikasi dan Ilmu Sosial Lainnya). Bandung: Remaja Rosdakarya.

5 comments:

zero order said...

nie cm asigment y nk kena submit kt lec...hahaha...

Anonymous said...

tq.. leh gak aku siapkan assgment nih..

ieda said...

assigment abg lan ke ni? mantap la

pukul.keliling said...

ajran....masuk la blog haku. kawan lama somban :-p

dumbdeaf said...

huk9 ni sebijik bakal masuk exam pg nnt..mekasih yer..❤