Thursday, December 25, 2008

Wacana: Khairy menang, Husam terperangkap

SEBELUM ini mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah benar Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan hadir sebagai ahli panel pada Wacana Transformasi Politik Malaysia yang diadakan di 'lubuk' Pas di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu lalu.

Biarpun sehingga ke saat-saat akhir sejam sebelum wacana itu berlangsung masih ada suara yang meragui kehadiran Ahli Parlimen Rembau tersebut.

Kira-kira pukul 9.30 malam, pertanyaan dan kesangsian hadirin terjawab apabila Khairy berada di atas pentas bersama dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.

Turut berada di atas pentas Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr Mohammad Agus Yusoff sebagai pemudah cara.

Kehadiran Khairy untuk hadir menunjukkan keberanian beliau berada di lautan manusia yang berkopiah putih dan hijau pada malam itu.

Pada masa yang sama lebih 3,000 orang berada di dalam dan luar dewan utama Balai Islam tersebut dan hanya sekelompak kecil tidak sampai 300 orang menjadi tukang sorok untuk Khairy.

Jika wacana ini diandaikan sebagai perlawanan bola sepak sudah pasti pemimpin lulusan Universiti Oxford ini berhadapan dengan tugas getir dan peluang untuk menang amat tipis kerana beraksi di tempat lawan tambahan pula lawannya bukan calang-calang orang.

Ketika pentas dibuka, wacana yang dianjurkan atas dasar ilimiah tersebut dibahagikan kepada tiga pusingan dan dimulakan oleh Husam sebagai tuan rumah untuk menghuraikan tema forum tersebut secara terperinci. Setiap ahli panel diberikan masa lima minit untuk memberikan hujah mereka.

Seperti biasa Exco kerajaan Pas Kelantan itu membuka gelanggang dengan membacakan ayat al-Quran bersama huraiannya sekali - agak panjang lebar. Seperti biasa juga, Husam mengemukakan fakta untuk memperkuatkan hujahnya tentang perubahan politik yang berlaku di negara ini - ia amat meyakinkan para penyokongnya dan serentak dengan itu bergema dengan takbir.

Ketika menghuraikannya Husam menghentem Khairy dan kerajaan Barisan Nasional yang disifatkannya tidak bertaqwa dan mengamalkan rasuah serta tidak layak untuk menjadi pemimpin di muka bumi ini.

Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan jelas kelihatan para penyokong Pas menanti Khairy mengeluarkan hujahnya, bagi mereka ini peluang terbaik untuk memalukan calon Ketua Pemuda UMNO tersebut jika terdapat kelemahan atau kesilapan dalam percakapannya.

Bagaimanapun penantian penyokong-penyokong tersebut tidak menjadi kenyataan, Khairy tampil dengan langkah bergaya dengan memulakan definisi transformasi politik negara dengan sepotong ayat al-Quran yang menceritakan tentang tanggungjawab menjaga dan memikul amanah di muka bumi ini.

Beliau dengan sinis menempelak Husam; "Walaupun Datuk Husam hentam saya semacam saja tadi, saya dapat menerimanya atas dasar ilimiah."

Definisi yang diberikan oleh Khairy di atas pentas tersebut ternyata mengujakan semua yang hadir termasuk Exco dan beberapa orang wakil rakyat Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jelas kelihatan Khairy nampak lebih bersedia dari segi mental ditambah pula dengan sokongan padu daripada penyokongnya yang kecil itu sehingga hampir melenyapkan laungan takbir yang sering dilaungkan sebelum ini.

Pun begitu, kehadiran Abdul Aziz untuk memberikan definisi tersebut ternyata tidak menyebelahi Khairy, beliau dengan lantang mengkritik dasar kerajaan BN terutama dalam penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhajaya Perlantikan Hakim (SPH).

Abdul Aziz menyifatkan suruhanjaya yang ditubuhkan sebagai 'tidak bergigi' dan tidak ada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan. Kenyataan Abdul Aziz mendapat reaksi daripada penyokong Khairy yang mula bersorok sehingga membuatkan beliau beremosi ketika berhujah.

Ahli Akademik ini juga meminta supaya UMNO berehat selama dua penggal dan memberikan peluang kepada pakatan pembangkang untuk memerintah. Katanya ini perlu pernah berlaku pada parti terkuat di Taiwan dan Jepun.

Selepas semua selesai, pusingan kedua bermula di mana setiap ahli panel perlu menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mohammad Agus manakala setiap ahli panel bebas untuk mencelah pada bila masa-masa.

Pada pusingan tersebut wacana yang dianggap ilmiah tersebut benar-benar bertukar menjadi debat di antara Husam dan Khairy manakala Abdul Aziz hanya membiarkan diri untuk mendengar dengan tekun di hujung meja ahli panel.

Di sini bermula episod yang menunjukkan kematangan Khairy dalam berhujah. Biarpun 'dihentak' daripada pelbagai sudut, beliau dengan tenang menjawab semua soalan dan tuduhan yang dilemparkan.

Paling menarik apabila beliau memerangkap Husam dalam soal hudud biarpun pemimpin kanan Pas itu cuba mengelak beberapa kali. Desakan demi desakan memaksa Husam menjawab; "Ya kami akan buat (hudud)," biarpun beliau sedar kenyataan seperti ini akan menimbulkan kemarahan rakannya dalam pakatan pembangkang terutama DAP.

Pusingan ketiga mengambil tempat kira-kira 15 minit selepas pukul 11 malam, pada pusingan ini khalayak di beri peluang untuk bertanyakan soalan, seperti yang dijangka lebih banyak soalan kepada Khairy, ini termasuk lima soalan daripada Hu Pang Chow - Pengerusi Kelab Penyokong Pas. Soalan kepada Husam hanya dua - itu pun tidak menjawab.

Setiap ahli panel diberikan peluang untuk menjawab soalan dan kemudiannya menggulung untuk menutup wacana. Menarik apabila Khairy menjawab semua soalan walaupun ada di antaranya yang telah diulas oleh Aziz Bari dalam sesi sebelum ini, Pemimpin muda ini menutup hujahnya dengan mengucapkan terima kasih dan penghoramatannya kepada Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun berbeza dengan Husam, beliau tidak menjawab soalan malah hilang kawalan apabila diprovoke oleh tukang sorak Khairy, Husam mencabar " "Apa saudara tidak yakin dengan wakil saudara, mari naik sendirilah atas pentas."

Seperti ceramah politik Pas yang biasa, Husam menutup wacana tersebut dengan perbezaaan parti kebangsaan dan parti Islam. Ungakapan klise pemimpin Pas sebelum ini terutama Nik Abdul Aziz.

Saya tertarik dengan kesimpulan yang dibuat oleh blogger MSO yang menyifatkan debat itu menyebelahi Khairy kerana sifatnya yang lebih tenang, merendah diri, terbuka dan 'apologetik' kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Aziz Nik Mat kerana hadir sebagai tetamu.

Malah ada menyifatkan kemunculan Khairy di atas pentas wacana anjuran Urus Setia Penerangan Kerajaan Kelantan di sini baru-baru ini seakan-akan melengkapkan cabarannya untuk menghampiri jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Mac depan.

Ada juga yang beranggapan wacana berkenaan mungkin lebih hebat dari Debar Perdana di antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan sebelum ini.

Pada masa yang sama keterbukaan kerajaan Pas Kelantan dalam menganjurkan debat seperti ini wajar dipuji pun begitu kehadiran penonton yang fanataik perlu dikawal kerana ia mungkin mencemarkan suasana majlis ilmu itu.

Ia juga menunjukkan negara ini sedang menuju ke arah kematangan berpolitik secara sedikit demi sedikit dalam era globalisasi ini.

Wacana yang berakhir tepat pukul 11.45 malam berjaya menambat kesemua penonton dari pulang awal pun begitu diharapkan mereka bukan hanya menang sorok tetapi mendapat ilmu daripadanya.

Ketika Khairy pulang dengan perasaan yang menyenangkan, Husam terpaksa berfikir untuk menjelaskan semula maksud kenyataannya kepada rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk melegakan mereka.


*Posting ini agak terlewat dibuat disebabkan sibuk dengan tugas hakiki, aku tetap membuat posting di atas rasa tanggunjawab aku kerana berada di dalam dewan besar tersebut. Di bawah ini pandangan aku sebagai pemerhati kecil dunia politik tanah air.


wasalam

2 comments:

ondscene said...

terimakasih atas maklumat yang dipaparkan.
sebenarnya saya dah hampir terlupa akan debat itu dan tertungg2 tarikhnya, akhirnya, debat itu dahpun selesai.
jika dapat disiarkan traskrip penuh perdebatan itu, alangkah baiknya dapat dibaca semua.
anyway, tq byk2 atas info ini.
salam

Anonymous said...

bro sorry, transkrip saya cuba sediakan selepas ini kerana transkrip yang saya buat tak tersusun. Pun begitu saya syorkan supaya saudara melihat sendiri viedo tersebut kerana situasi pada malam itu berbeza dan ia tidak dapat digambarkan sepenuhnya melalui transkrip tersebut... tq