Saturday, November 29, 2008

Retak menanti belah dan sesumpah....

Mungkin ini perumpamaan yang sesuai untuk pakatan pembangkang atau Pakatan Rakyat. Banyak perkara yang dilalui oleh pakatan tersebut menimbulkan tanda tanya ke mana arah tuju parti-parti di bawah naungannya. Apa tidaknya ke Pas, DAP dan PKR memiliki dasar yang berlainan. Pas dengan islamnya, DAP dengan Malaysian - Malaysia dan PKR dengan cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Jika diteliti mungkin hanya PKR yang mempunyai kesemaan dasar dengan dua lagi parti kerana ia tidak mempunyai dasar perjuangan yang lain daripada cita-cita penasihatnya menjadi pemimpin ulung negara. Mungkin tidak diketerlaluan PKR ibarat sesumpah yang boleh bertukar warna di mana saja ia berada.

Bagi Pas dan DAP ia amat sukar untuk menjadi sesumpah kerana asas perjuangan mereka agak kukuh serta wujud sejak berpuluh tahun lalu.

Justeru jika dikaji perkembangan mutakhir ini, Pas kelihatan amat tersepit di antara DAP dan PKR kerana dasarnya semakin tenggelam di tiga negeri yang dipimpin oleh pakatan rakayat kecuali Kelantan dan Kedah.

Dasar perjuangan Pas semakin lama semakin hilang ditelan pengaruh dua parti ini. Anwar yang diyakini dapat memainkan peranan menyatukan kesemua parti politik ini tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Ketua Pembangkang dilihat lebih mementingkan tuntutan DAP dan desakan ahli bukan Melayunya.

Disebabkan sifat Anwar seperti 'sesumpah', Pas kini berhadapan dengan krisis kepimpinan di mana parti itu terbahagi dua, konservatif dan 'erdogan'.

Kumpulan konservatif adalah golongan yang masih berpegang kuat dengan dasar perjuangan parti itu di mana ia mesti dilaksanakan walau apa cara sekali pun.

Kumpulan 'erdogan' adalah kumpulan yang lebih memintangkan kerjasama kuasa daripada asas perjuangan, jadi mereka melihat keharmonian dalam pakatan pembangkang walaupun terpaksa mengalah dalam banyak hal. Kumpulan ini dikatakan ditunjangi oleh beberapa pemimpin seperti Husam Musa, Khalid Samad, Shaari Sungib dan Kamarudin Jaafar - hubungan mereka dengan Anwar dikatakan amat rapat sehingga akur dengan semua arahan yang diberikan.

Penulis melihat ini sebahagian daripada strategi Anwar untuk menguasai Pas bagi memudahkan laluannya untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri. Mudah cerita Anwar adalah penyebab kepada krisis kepimpinan Pas sekarang.

Persoalannya jika kumpulan erdogan berjaya menguasai Pas ke manakah arah tuju parti itu selepas ini. Banyak perkara yang berlaku mutakhir ini seperti di Selangor menunjukkan parti itu terlalu mengalah demi menjaga hati rakan-rakannya.

Jika Pas sanggup mengalah dan mengorbankan dasarnya di mana jati diri parti itu, apakah selepas ini Pas tidak lagi memperjuangkan Islam dan senada dengan DAP dan PKR mewujudkan Malaysian - Malaysia.

Puak konservatif perlu bertindak segera sebelum mereka terus hanyut dan mabuk dilautan kuasa. Mereka seharusnya membunuh 'sesumpah' yang merosakkan parti dan mengkhianati penyokong-penyokong setia yang mahu melihat dasar parti ditegakkan.

Tidak rugi sekiranya Pas keluar dari pakatan kerana mereka masih mempunyai penyokong setia dan jentera yang kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Pas perlu berani membuat keputusan ini, apa guna berkawan jika kawan makan kawan.

Daripada hujah-hujah ini ia jelas menunjukkan pakatan itu telah retak dan menanti belah. Tidak mampu diselamatkan lagi, perlu diingat Anwar adalah sesumpah yang sering bertukar warna demi mencapai cita-citanya walau apa cara sekali pun termasuk menggadai rakan karibnya yang membantu ketika susah.

*Mungkin Pas dan UMNO akan bersatu semula kerana dasarnya yang tidak jauh berbeza. Melayu adalah Islam.

wasalam.

No comments: